Rabu, 13 September 2017 | 3:10pm
KIRA-KIRA 70,000 pengunjung berpeluang menggelongsor di atas jalan menerusi acara gelongsor air gergasi atau 'Slide the City 2017' di Shah Alam mulai 30 September hingga 29 Oktober ini.- Foto ihsan FB slidethecitymalaysia
LEONG Delon. - Foto Zain Ahmed

Slide the City 2017 janjikan keseronokan

PETALING JAYA: Kira-kira 70,000 pengunjung berpeluang menggelongsor di atas jalan menerusi acara gelongsor air gergasi atau 'Slide the City 2017' di Shah Alam mulai 30 September hingga 29 Oktober ini.

Festival diadakan setiap Jumaat hingga Ahad sepanjang tempoh berkenaan.

Untuk tujuan itu, perkarangan tempat letak kenderaan Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) Setia Alam bakal bertukar wajah menjadi persekitaran bagi festival air.

Ketua Pegawai Eksekutif Monkey Theory, Leong Delon, berkata Slide the City tahun ini dilaksanakan dalam skala lebih besar berbanding edisi pertama pada 2015.

"Sebelum ini, acara dilaksanakan secara siri jelajah di beberapa lokasi seluruh negara.

"Bagaimanapun, format itu menyebabkan tidak ramai berpeluang menyertainya berikutan lokasi yang kerap berubah dan masa terhad.

"Tahun ini, ia dijalankan selama sebulan di lokasi sama bagi memberi lebih banyak masa kepada pengunjung berseronok," katanya pada sidang media sini, hari ini.

Gelongsor air gergasi sepanjang 128 meter (m) pada ketinggian tujuh meter itu bakal memberi pengalaman meluncur menyeronokkan dan penuh debaran.

Slide the City adalah acara gelongsor air yang menjadi fenomena di beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS), Kanada, Korea Selatan dan China berikutan kelainan meluncur di atas jalan raya.

Leong berkata, Slide the City 2017 dibuka mulai jam 5 petang hingga 12 tengah malam setiap Jumaat manakala waktunya lebih panjang pada hujung minggu iaitu 9 pagi hingga 12 malam.

"Di negara lain, ia hanya diadakan pada waktu siang tetapi kali ini kita wujudkan kelainan apabila ia dilanjutkan hingga malam," katanya.

Sebagai tambahan, katanya,  pelbagai aktiviti lain turut diadakan seperti gerai jualan dan trak makanan.

Tiket boleh dibeli pada harga RM29 dan RM86 secara dalam talian menerusi laman web rasmi di www.slidethecity.asia atau di kedai serbaneka 24 jam 7-Eleven terpilih di sekitar Lembah Klang mulai hari ini.

1102 dibaca
Berita Harian X