Rabu, 13 September 2017 | 3:08pm
HANAFI Mamat (dua dari kiri) menyampaikan bantuan wang ihsan kepada penerima, Ismail Saad sambil diperhati Zainuddin Hussin (kiri) di Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan Bencana Banjir di Kolej Vokasional Bunut Susu, Tendong.

RM2.2 juta untuk mangsa banjir

PASIR MAS: Bantuan wang ihsan sebanyak RM2.2 juta akan diagihkan secara berfasa kepada mangsa banjir di daerah ini.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Senator Datuk Hanafi Mamat, berkata peringkat pertama agihan sudah dilakukan dengan membabitkan bantuan sejumlah RM326,500.

Katanya, bantuan kewangan itu diserahkan kepada mangsa di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Chetok, Tendong dan Pengkalan Pasir.

"Hari ini dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), seramai 653 mangsa banjir sudah menerima bantuan kewangan sebanyak RM500 setiap seorang.

"Manakala bagi 3,900 mangsa yang belum menerima bantuan ini, ia akan disalurkan melalui dua lagi fasa agihan yang dilakukan sebelum hujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan Bencana Banjir di Kolej Vokasional Bunut Susu, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah JPAM Kelantan, Zainuddin Hussin.

Hanafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, berkata kerajaan sentiasa peka dengan nasib rakyat yang menjadi mangsa banjir setiap tahun di negeri ini.

"Mangsa yang menerima bantuan ini adalah mereka yang ditimpa banjir pada penghujung tahun 2016 dan awal tahun ini...kerajaan melalui anggota keselamatan dan jabatan kerajaan tidak putus-putus menyalurkan bantuan sejak hari kejadian banjir berlaku," katanya.

Sementara itu, seorang penerima, Yah Awang, 89, berkata rumahnya di Kampung Gelang Mas, di sini sentiasa dinaiki air setiap tahun apabila tiba musim tengkujuh.

"Setiap tahun saya menjadi mangsa banjir dan akan berpindah di pusat pemindahan...keadaan itu sudah menjadi kebiasaan kepada mereka yang tinggal di kawasan rendah," katanya.

180 dibaca
Berita Harian X