Rabu, 13 September 2017 | 11:38am
BUAYA sepanjang hampir lima meter ditangkap nelayan di Filipina yang tersebar di media sosial kononnya ditemui di Kampung Simunul, Semporna. - Foto viral
BUAYA sepanjang hampir lima meter ditangkap nelayan di Filipina yang tersebar di media sosial kononnya ditemui di Kampung Simunul, Semporna. - Foto viral

'Itu buaya Kampung Simunul sana, bukan sini'

SEMPORNA: Kisah seekor buaya yang terperangkap pada pukat nelayan di kawasan pantai Kampung Simunul di sini, seperti tersebar di laman sosial sejak beberapa hari lalu, disahkan berlaku di Tawi-Tawi, selatan Filipina.

Penyebaran beberapa keping gambar buaya berkenaan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk Kampung Simunul, sehingga ada nelayan dikatakan bimbang untuk turun ke laut.

Ketua Kampung Simunul, Ramlee Saraman, ketika dihubungi mengesahkan tiada kejadian buaya ditangkap di kampung berkenaan.

Malah, beliau bersama penduduk menjalankan pemeriksaan dan mendapati ia berlaku di negara jiran.

"Saya percaya ramai yang terkeliru dengan berita ini kerana nama Kampung Simunul juga ada di selatan Filipina.

"Memang ada kejadian buaya ditangkap tetapi ia berlaku di perkampungan Simunul di Tawi-Tawi, Filipina dan bukan di Semporna," katanya.

Ramlee juga meminta orang ramai menghentikan penyebaran berita itu kerana ia bukan saja tidak benar, malah menimbulkan panik dalam kalangan penduduk kampung.

Sementara itu, berdasarkan laporan ABS CBN News, buaya air masin sepanjang kira-kira lima meter itu dikesan sekumpulan nelayan petang Khamis lalu, sebelum terperangkap di pukat berhampiran perkampungan atas air di Barangay Sukubalan Simunul, Taw-Tawi.

Pegawai Pengurusan Bencana Daerah, Ruben Balcorza, dipetik sebagai berkata, buaya itu ditangkap diserahkan kepada pihak berkuasa.

4531 dibaca
Berita Harian X