Rabu, 13 September 2017 | 8:55am
LOKASI program Hari Gotong-Royong Pembersihan Pantai Sedunia di lapan zon di Kudat, Ahad ini.

60 kampung bersihkan pantai

KUDAT: Sebanyak 60 kampung sekitar daerah ini bakal terbabit dalam program Hari Gotong Royong Pembersihan Pantai Sedunia sempena Tahun Melawat Kudat 2017 dan Hari Alam Sekitar Sedunia, 17 September ini.

Program anjuran Pejabat Daerah Kudat dengan kerjasama Persatuan Pemuliharaan Penyu Kudat (KTCS) dan Tabung Sedunia untuk Alam Semulajadi (WWF) itu berlangsung serentak di lapan zon utama bermula jam 8 pagi.

Zon berkenaan ialah Matunggong, Sikuati, Kelambu, Bak-Bak, Banggi, Sebayan, Limau-Limauan dan pekan Kudat.

Program dijadual dirasmikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Kapor, Datuk Teo Chee Kang.

Penyelaras Projek KTCS, Norfazilah Rahman, berkata aktiviti pembersihan pantai itu adalah julung kali diadakan pada skala besar di daerah berkenaan yang terkenal dengan keindahan pantai dalam kalangan pelancong.

"Kudat mempunyai banyak lokasi pelancongan menarik dan jumlah pelancong juga semakin meningkat. Oleh itu, kami mengajak orang ramai khususnya penduduk yang tinggal berhampiran pantai supaya turut menyertai usaha murni ini.

"Selain membersihkan pantai, acara seumpama ini secara tidak langsung mendidik masyarakat supaya menghargai alam sekitar," katanya ketika berkunjung kepada BH di sini.

Norfazilah berkata, pihaknya menjangka lebih 1,000 peserta terdiri daripada masyarakat setempat, penjawat awam, kakitangan swasta dan ahli kelab alam sekitar akan menyertai program berkenaan

"Bagaimanapun, kita berharap lebih ramai orang awam dan sukarelawan datang menyertai acara ini," katanya.

Bagi sebarang pertanyaan orang ramai boleh menghubungi Pejabat Daerah Kudat di talian 088-620401 atau hubungi KTCS menerusi 010-9371106 (Zilla), 019-8737547 (Eva) serta WWF-Malaysia di talian 088-612339.

262 dibaca
Berita Harian X