Selasa, 12 September 2017 | 3:35pm
AHLI Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek. - Foto Farizul Hafiz Awang

Berlakon untuk sokong industri tempatan

SEREMBAN: Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek, bersetuju berlakon sebagai pelakon tambahan dalam filem komedi berkisar Adat Perpatih berjudul 'This Is Pilah', kerana tarikan jalan ceritanya.

Selain itu beliau berkata, filem terbitan Madness Films itu mengangkat mengenai keunikan yang terdapat di Negeri Sembilan, sekali gus dapat mempromosikan negeri ini.

Duta Besar Malaysia ke Kemboja itu akan tampil sebagai diri sendiri membabitkan dua babak dalam penggambaran yang akan diadakan di sekitar Kuala Pilah.

"Ini hanya sumbangan kecil saya dalam menyokong usaha anak muda dalam industri filem tempatan dan saya berharap lebih ramai mereka yang berbakat menyokong usaha ini.

"Bagi saya tidak salah untuk berlakon, malah saya melakonkan watak diri sendiri. Ini juga salah satu cara saya memberi penghormatan terhadap negeri kesayangan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Hasan yang kini berada di Kemboja berkata, dia akan pulang ke tanah air minggu ini bagi memulakan penggambaran bagi babaknya.

Katanya, walaupun itu pengalaman pertamanya berlakon, namun dia berharap semuanya akan berjalan lancar seperti dirancang.

Selain Hasan, turut berlakon di dalam filem arahan pengarah, Rosdi Md Dali, itu adalah hampir semua anak jati negeri ini.

Filem yang dijangka ditayangkan awal tahun hadapan itu, memilih penyanyi rap, Juzzthin sebagai pelakon utama yang akan digandingkan dengan penyanyi Ara yang juga anak jati negeri ini.

'This Is Pilah' mengisahkan mengenai hasrat seorang pemuda berasal dari Kuala Pilah yang mahu berkahwin dengan gadis idamannya daripada suku yang sama.

266 dibaca
Berita Harian X