Ahad, 13 Ogos 2017 | 2:25pm
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (kiri) menziarhi EXCO Kedah, Datuk Aminuddin Omar, yang kehilangan anak sulungnya akibat kemalangan jalan raya semalam. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Bashah ziarah keluarga EXCO Kedah

JITRA: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, hari ini menziarahi EXCO Kedah, Datuk Aminuddin Omar yang kehilangan anak sulungnya akibat kemalangan jalan raya semalam.

Muhammad Irfan Aminuddin, 20, dan rakannya Wan Qhuzairie Wan Cik, 27, maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) dinaiki terbabas dan melanggar pokok di KM12.7 lebuh raya PLUS, Changlun, dekat Kampung Bendang Perang kira-kira jam 4 petang semalam.

Ahmad Bashah yang tiba di kediaman Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra di Taman Kampung Padang, di sini bagi meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk menyampaikan ucapan takziah.

"Saya harap keluarga Aminuddin bersabar dengan pemergian anak sulungnya.

"Semalam saya ada kursus di Janda Baik, Pahang. Saya dimaklumkan mengenai perkara ini petang semalam, pagi ini saya bertolak balik dan terus menziarahi keluarganya.

"Alhamdulillah, urusan pengebumian selesai jam 11.30 malam tadi," katanya.

Berikutan kejadian itu, Ahmad Bashah membenarkan cuti rehat kepada Aminuddin tetapi Pengerusi Jawatankuasa Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan negeri itu tetap mahu menghadiri Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.

Sementara itu, Aminuddin mengucapkan terima kasih kepada semua agensi termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pihak hospital serta orang ramai yang membantu menguruskan jenazah anaknya sehingga selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Hijrah, malam tadi.

"Terima kasih kepada semua yang terbabit dalam proses pengebumian anak saya. Insya-Allah, saya akan hadir ke Sidang DUN esok," katanya.

636 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »