Sabtu, 12 Ogos 2017 | 6:20pm
AHLI Majlis Tertinggi Umno merangkap Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersama Ketua UMNO Bahagian Marang, A Latiff Awang (tengah) semasa hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Marang di Dewan Majlis Daerah Marang hari ini. -Foto Ghazali Kori

KKLW lulus RM60.2 juta bina dua jalan

MARANG: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) meluluskan peruntukan sebanyak RM60.2 juta untuk pembinaan dua jalan di daerah ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkata, tender untuk dua projek jalan sejauh kira-kira tujuh kilometer itu akan dikeluarkan bulan depan.

Katanya, dua projek jalan iaitu dari Jalan Kenanga ke Wakaf Tapai sejauh kira-kira 3.5 kilometer termasuk pembinaan sebuah jambatan, membabitkan peruntukan sebanyak RM22.7 juta.

"Projek pembinaan jalan bermula dari Wakaf Tapai ke Kampung Lubuk Batu sejauh kira-kira 3.5 kilometer, termasuk pembinaan dua jambatan pula membabitkan peruntukan sebanyak RM37.5 juta," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Marang di Dewan Sivik Majlis Daerah Marang, di sini, petang ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Marang, A Latiff Awang dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Marang, Zaitun Mat Amin.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, dua projek pembinaan jalan itu dijangka dimulakan pada akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

Selain itu, katanya, kementerian juga meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta untuk pembinaan jalan kampung di seluruh daerah Marang.

"Tahun lalu, kementerian meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk pembinaan jalan kampung tetapi tidak mencukupi, menyebabkan peruntukan tambahan diluluskan," katanya.

Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM100,000 diluluskan untuk menyediakan lampu jalan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong dan Alor Limbat.

"Peruntukan untuk pembinaan dan menyediakan lampu jalan akan disalurkan terus kepada Majlis Daerah Marang (MDM)," katanya.

Berita Harian X