Jumaat, 11 Ogos 2017 | 4:37pm
ORANG ramai mengunjungi Pasar Tani di perkarangan Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah, Dungun, hari ini. - Foto Rosli Ilham

Licin dalam setengah jam

DUNGUN: Sebanyak 500 kilogram (kg) gula, 100 botol minyak masak dan 400 kg tepung gandum yang dijual pada harga rendah daripada pasaran pada majlis pelancaran Pasar Tani di perkarangan Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah, di sini, habis dalam tempoh 30 minit.

Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) daerah, Masri Talib, berkata Pasar Tani yang baru pertama kali dianjurkan itu membabitkan kerjasama ahli jawatankuasa masjid terbabit diserbu kira-kira 2,000 pengunjung.

Katanya, FAMA mempromosikan minyak masak yang dijual pada harga RM20 bagi setiap botol seberat lima kg, gandum dengan harga RM1 sekg, manakala gula dengan harga RM2.50 sekg.

Beliau berkata, Pasar Tani itu dibuka setiap pagi Jumaat dalam usaha memudahkan 100 jemaah masjid yang datang mendengar kuliah di masjid terbabit serta penduduk di sekitar Kampung Molek mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian yang dijual pada harga murah di situ.

"Kita sangat terkejut dengan sambutan diberikan kerana pada asalnya kami ingin menjual secara kecil-kecilan. Tidak sangka ia disertai seramai 36 usahawan yang datang berniaga sehingga menarik lebih 2,000 pengunjung," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Pasar Tani itu di sini, hari ini.

Masri berkata, pihaknya bangga apabila semua 36 peniaga pelbagai barangan melahirkan penghargaan selepas berpuashati dengan sambutan diterima masyarakat serta jemaah masjid itu.

"Setiap minggu, kita akan bawa barangan lain pula untuk kita promosikan pada harga harga murah kepada pengunjung," katanya.

7235 dibaca
Berita Harian X