Jumaat, 11 Ogos 2017 | 12:11pm
PUNG Kim Ying menyampaikan Anugerah 'The Tourism Guru' kepada Idris dalam satu majlis ringkas di Pejabat Ketua Menteri, Seri Negeri, Ayer Keroh.

Idris terima anugerah 'Guru Pelancongan'

AYER KEROH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menerima anugerah 'The Tourism Guru' oleh majalah pelancongan bahasa Inggeris, Where2 Travel & Lifestyle, atas sumbangannya mengangkat nama Melaka ke persada antarabangsa.

Anugerah itu disampaikan Pengarang majalah terbitan Niche Forte Communications berkenaan, Pung Kim Ying dalam satu majlis ringkas di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri, di sini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Naim Abu Bakar; Timbalan EXCO Pelancongan, Pembangunan Pantai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Wira Ghazale Muhamad dan Pengurus Besar Tourism negeri, Norena Jaafar.

Kim Ying berkata, pengiktirafan tertinggi diberikan kepada Idris adalah kerana usaha keras Ketua Menteri itu memajukan industri pelancongan Melaka yang kini berada di kedudukan teratas dari segi kehadiran pelancong.

Katanya, ia sekali gus menjadikan Malaysia khususnya Melaka sebagai destinasi utama pelancong seluruh dunia.

"Usaha keras beliau (Idris) menjadi kunci utama kejayaan, seterusnya sebagai pemangkin kepada penggiat industri untuk meningkatkan mutu produk dan perkhidmatan pelancongan sehingga diiktiraf ke peringkat antarabangsa, malah disebut dalam pelbagai penerbitan dalam dan luar negara," katanya.

Berita Harian X