Jumaat, 14 Julai 2017 | 3:29pm

Tentera bantu bendung wabak rabies


MEJAR Jeneral Datuk Stephen Mundaw beramah mesra dengan veteran tentera serta anggota yang masih bertugas selepas perbarisan Hari Ulang Tahun Ke-51 Divisyen Pertama Infantri TDM. - Foto M Roji Kawi

SAMARAHAN: Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) diarah membantu Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengawasi kemasukan haiwan dari negara jiran bagi membendung penularan wabak rabies.

Panglima Divisyen Pertama Infantri, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw berkata, anggota yang bertugas di sempadan termasuk di laluan keluar masuk utama akan menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada haiwan peliharaan khususnya anjing dan kucing dibawa masuk ke negeri ini.

"Pemantauan juga kita jalankan di laluan hutan berdekatan sempadan untuk mengesan kehadiran anjing liar dari negara jiran yang dikhuatiri mengidap rabies.

"Langkah ini kita ambil bagi membantu agensi lain menangani wabak itu yang kini semakin membimbangkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas perbarisan sambutan Hari Ulang Tahun Ke-51, Divisyen Pertama Infantri TDM, di Kem Muara Tuang di sini, hari ini.

Mengenai kemungkinan pihaknya diperlukan untuk membantu menghapuskan anjing liar di kawasan yang dijangkiti wabak rabies khususnya di Serian dan Gedong, Stephen berkata, ia masih belum dibincangkan.

"Tidak... kami juga belum memikirkan tindakan sampai ke tahap itu (menangkap dan membunuh anjing liar)," katanya.

Sehingga kini, tiga mangsa jangkitan wabak berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan rapi di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Dua mangsa pertama, pasangan adik-beradik Monica, 6, dan Jackson Mazlan, 4, dari Kampung Paon Rimu Bakung, Serian disahkan meninggal dunia pada 4 Julai lalu dan semalam, Alicesa Lorenna Nody, 7, dari Kampung Lebor, Gedong, pula disahkan meninggal dunia.

Ketika ini, seorang lagi kanak-kanak perempuan dari Kampung Seroban, Serian sedang menerima rawatan rapi di HUS.

123 dibaca
Berita Harian X