Jumaat, 12 Oktober 2018 | 2:28pm
Gambar fail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul. - Foto Nor Farhani Che Ad

Johari anggap 'pelantikan' cuma berita viral

ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul, menganggap khabar angin mengatakan beliau bakal dilantik sebagai Menteri Besar Kedah sekadar isu yang viral saja.

Johari berkata, beliau tidak akan percaya kepada maklumat viral itu, seperti mana khabar angin selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, yang mendakwa beliau bakal dilantik menjadi Menteri Pertahanan atau Menteri Pelancongan.

Bagaimanapun, beliau mengakui mengadakan pertemuan lebih satu jam bersama Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Sabtu lalu di Wisma Negeri, bagi membincangkan perancangan pembangunan di negeri itu.

“Namun, sepanjang pertemuan itu, tiada perbincangan mengenai pelantikan Menteri Besar, sebaliknya ia mengenai perancangan membangunkan negeri, malah saya turut memberi pendapat mengenai isu padi di Kedah.

“Pertemuan dengan Sultan Kedah ini adalah perkara biasa kerana saya dimaklumkan Tuanku juga ada menemui beberapa ADUN lain untuk bertanyakan pendapat mengenai pembangunan negeri,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Khabar angin mengenai Johari bakal dilantik menjadi Menteri Besar kembali panas selepas tersebar maklumat mengatakan beliau bakal menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang akan dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri susulan masalah kesihatan dihadapi Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata, pelantikan Menteri Besar adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Sultan Kedah dan menyerahkannya kepada baginda bagi menentukannya.

“Sebenarnya saya pernah dipanggil ke istana selepas PRU-14 selepas Kak Wan (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) mencalonkan saya sebagai Menteri Besar, namun ketika itu Tuanku mahukan Mukhriz memegang jawatan itu.

“Sekiranya Tuanku ‘memanggil’ saya, sudah tentu saya bersedia menerima tanggungjawab itu atas kecintaan dan sayang saya kepada Sultan Kedah dan negeri ini, ” katanya.

Pada masa sama, Johari berkata, sehingga kini beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara itu oleh kepimpinan tertinggi PKR, malah ia juga tidak dibincangkan dalam parti.

“Saya sendiri tidak berminat bertanya lanjut kerana ia bukan di bawah urusan saya, namun jika diberi pilihan antara jawatan di Kabinet atau Menteri Besar, saya memilih Menteri Besar.

“Tidak timbul isu saya kecewa selepas kali pertama nama saya tidak terpilih sebagai Menteri Besar kerana selama 20 tahun dalam dunia politik sudah banyak jatuh bangun yang saya alami,” katanya.

883 dibaca
Berita Harian X