Jumaat, 12 Oktober 2018 | 12:08pm

Ibu pejabat UMNO nafi digeledah ROS, PDRM atau SPRM

KUALA LUMPUR: Portal UMNO Online hari ini menafikan dakwaan kononnya ibu pejabat parti itu diselongkar serentak pagi ini oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan, memaklumkan bahawa gambar yang viral menerusi media sosial adalah kerja penyusunan dan kemas kini fail pentadbiran di Ibu Pejabat UMNO.

“Berita yang mengatakan Ibu Pejabat UMNO digeledah adalah tidak benar kerana gambar yang viral adalah kakitangan UMNO sendiri sedang melakukan kemas kini dan tugasan harian dalam proses penyusunan semula dokumen,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jelas beliau, UMNO sentiasa memberikan kerjasama kepada mana-mana pihak dalam apa-apa juga keadaan.

562 dibaca
Berita Harian X