Khamis, 11 Oktober 2018 | 2:08pm
RAIS Yatim

Era Isa Samad sudah berlalu - Rais

PORT DICKSON: Zaman bekas Menteri Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad, dianggap sudah berlalu dan tiba masanya untuk beliau berundur daripada politik.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata Mohd Isa perlu menyedari realiti dan tuntutan politik semasa.

Rais berkata, Mohd Isa pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dan sepatutnya menggunakan tempoh dari 1982 sehingga 2004 untuk membawa perubahan kepada Port Dickson.

“Anda (Mohd Isa) berkuasa selama 22 tahun, kenapa tidak laksanakan apa yang dijanjikan kerana 22 tahun adalah tempoh yang lama sebagai menteri besar.

“Saya hanya menjadi menteri besar selama sepenggal (1978 hingga 1982).

“Isa sepatutnya memenuhi kehendak rakyat selama 22 tahun itu dan bagi saya, Isa gagal dengan apa yang kami mahu laksanakan pada masa depan,” katanya dalam ceramah kempen pilihan raya di Taman Intan Perdana di sini, malam tadi.

Mohd Isa menggantikan Rais sebagai Menteri Besar bermula 1982 hingga 2004.

Beliau yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson 13 Oktober ini, bakal berdepan saingan tujuh penjuru termasuk calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar.

Empat lagi calon Bebas adalah bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan; personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong; pakar perunding pengurusan, Kan Chee Yuen; dan bekas pensyarah universiti swasta, Lau Seck Yan.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Rais yang juga bekas penasihat sosio budaya kerajaan berkata, alasan Mohd Isa bertanding kerana kekosongan kerusi tidak memadai untuk dijelaskan kepada pengundi.

“Politik adalah mengenai realiti, sentimen saja tidak boleh mengembalikan zaman kegemilangan.

“Apa yang dilakukannya mengenai pantai yang kotor, lesen perniagaan, pemilikan tanah dan lain-lain? Adakah beliau berjaya selesaikan semua masalah itu?

“Kalau susah sangat nak buat semua itu 22 tahun dulu, kita berilah beliau satu dua undi, selebihnya tolong beri pada Anwar,” katanya.

Berbeza dengan Anwar, Rais berkata, Mohd Isa tidak mampu membawa perubahan terhadap bandar tentera darat itu.

“Saya ingin katakan kepada Isa, sudah sampai masa beliau serahkan kepada orang lain untuk melaksanakan apa yang gagal dilunaskan satu ketika dulu.

“Soalannya, apakah kita boleh bergantung harap kepada Anwar? Jawapannya ya,” katanya.

1309 dibaca
Berita Harian X