Jumaat, 5 Oktober 2018 | 2:51pm
MOHD Isa Samad. - Foto Hasriyasyah Sabudin

'Cakap lain, buat lain'

PORT DICKSON: Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Tan Sri Mohd Isa Samad, menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai terdesak kerana cuba menarik sokongan warga tentera.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mempersoalkan kehadiran Anwar dalam majlis di kawasan kem pasukan keselamatan berkenaan.

Mohd Isa mendakwa, tindakan calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Ketua Umum PKR itu, menunjukkan beliau memungkiri janji untuk tidak menggunakan jentera dan aset kerajaan dalam kempennya pada PRK ini.

“Saya difahamkan beliau menghadiri beberapa acara membabitkan warga tentera, termasuk majlis Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, kelmarin serta majlis anjuran kerajaan negeri hari ini.

“Nampaknya Anwar sudah terlalu terdesak sehingga tidak dapat pegang apa disebut sebelum ini.

“Namun pada pendapat saya, pandangan (janji) yang berubah-ubah itu adalah perkara yang biasa bagi beliau,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di Taman Orkid di sini, hari ini.

Sebelum ini, Anwar berjanji partinya tidak akan menggunakan aset dan jentera kerajaan bagi menghadapi PRK Port Dickson untuk memastikan gerak kerja kempennya dijalankan melalui proses yang bersih dan bebas.

Beliau dilaporkan berkata, pemimpin yang berkempen dan memberi sokongan perlu hadir atas kapasiti parti dan bukan wakil kerajaan (NGO).

Anwar turut memaklumkan program membabitkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, di Port Dickson, ditangguhkan kerana tidak mahu dianggap mempunyai kaitan dengan PRK.

Bagaimanapun, kehadiran Anwar di beberapa majlis membabitkan warga tentera, termasuk ketika Mohamad menyampaikan Pingat Jasa Malaysia kepada pesara tentera di sini, kelmarin, menimbulkan ketidakpuasan hati calon lain.

Isa menentang Anwar selain calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar serta empat calon Bebas lain termasuk bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada PRK ini yang diadakan di kawasan yang turut dikenali sebagai Bandar Tentera Darat.

3189 dibaca
Berita Harian X