Khamis, 4 Oktober 2018 | 4:28pm
PENDUDUK mengambil kesempatan berswafoto dengan Mohd Saiful Bukhari ketika mengadakan tinjauan mesra bertemu pengundi berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Intan Perdana, Port Dickson.

'Kalau takut saya tak bertanding'

PORT DICKSON: Calon Bebas, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tidak gentar dengan kehadiran besar jentera pesaingnya yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Sebaliknya, Mohd Saiful Bukhari, 33, sentiasa positif walaupun tidak mempunyai jentera seumpama itu bagi membantunya sepanjang tempoh kempen menjelang hari pengundian pada 13 Oktober ini.

“Masing-masing ada kekuatan dan saya juga ada cara tersendiri. Selain berkempen secara bersemuka, saya turut menggunakan medium media sosial serta pendekatan teknologi lain yang ada.

“Saya tidak gentar dengan lawan yang mempunyai jentera yang ramai di belakang mereka.

“Kalau takut, saya tidak akan masuk bertanding,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan mesra bertemu pengundi berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Intan Perdana di sini, hari ini.

Bekas pembantu peribadi kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, adalah antara tujuh calon yang bertanding pada PRK Port Dickson.

Selain Mohd Saiful dan Anwar yang mewakili Pakatan Harapan (PH), pilihan raya berkenaan turut ditandingi calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan empat lagi calon Bebas iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad; Stevie Chan Keng Leong, Lau Seck Yan serta Kan Chee Yuen.

Mohd Saiful Bukhari berkata, setiap penduduk yang ditemuinya setakat ini ini, memberi maklum balas positif selain menyatakan sokongan kepadanya.

“Saya bersedia secara fizikal dan mental. Setiap hari saya berjumpa dengan penduduk di sini, mereka menyambut kedatangan saya dengan baik.

“Selebihnya, saya serahkan kepada Allah.

“Saya masih mengumpul sokongan pengundi di Port Dickson dan jika tiada halangan, saya akan menganjurkan ceramah pertama dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

2189 dibaca
Berita Harian X