Ahad, 30 September 2018 | 6:30pm
KAN Chee Yuen

Belum mula kempen

PORT DICKSON: Ketika calon lain agresif memulakan ‘perang’ kempen hari ini, lain pula bagi calon Bebas, Kan Chee Yuen, yang belum memasuki gear satu.

Chee Yuen, 45, yang menggunakan lambang pen, berasa tidak perlu untuknya berkempen terlalu awal sebaliknya memberi laluan calon lain untuk berbuat demikian.

“Biar ‘abang besar’ (Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Mohd Isa Samad) yang berkempen. Bagi calon Bebas seperti saya, tidak perlulah nak jerit-jerit tepi jalan.

“Saya lebih selesa menggunakan pendekatan bersemuka dengan pengundi untuk memperkenalkan diri. Selain itu, saya juga memerlukan media untuk menguar-uarkan manifesto saya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Chee Yuen kini mengatur strategi bersama jentera sebelum memulakan kempen pada Khamis ini.

Katanya, antara pendekatan digunakan ialah mengedar risalah manifesto dan meyakinkan pengundi untuk memilihnya sebagai Ahli Parlimen Port Dickson.

Beliau adalah antara lima calon Bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, selain dua calon mewakili parti Pakatan Harapan (PH) dan PAS.

750 dibaca
Berita Harian X