Jumaat, 28 September 2018 | 2:37pm
TAN Sri Mohd Isa Abdul Samad. - Foto Iqmal Haqim Rosman

'Saya tak kisah apa Anwar cakap'

PORT DICKSON: “Saya tidak kisah apa Anwar nak cakap, itu hak dia. Yang penting saya masuk bertanding,” kata Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang akan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang itu berkata, beliau tidak kisah dengan kenyataan terbuka bakal lawannya, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menganggapnya bukan cabaran pada PRK berkenaan.

“Saya bukan orang baharu dalam politik. Biar pengundi yang menilai. Anwar dengan caranya dan saya dengan cara saya.

“Saya akan buat macam biasa. Port Dickson tempat saya dan orang di sini (pengundi) kenal saya. Walaupun mereka (PKR) mempunyai jentera yang kuat, tetapi saya yakin boleh memberikan cabaran.

“Saya selesa dengan tanggapan macam itu (bukan cabaran Anwar), tapi perlu diingat, pilihan raya bukan main-main atau sekadar suka-suka, saya bertanding untuk menang,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Malam tadi, Anwar dilaporkan berkata Mohd Isa yang juga bekas Pengerusi FELDA, bukan cabaran baginya pada PRK itu, malah menyifatkan beliau sebagai calon yang mempunyai masalah dan diketahui umum.

3217 dibaca
Berita Harian X