Sabtu, 15 September 2018 | 9:05am
HADI Awang

Ucapan perasmian Hadi dinanti

KUALA NERUS: Pagi ini, Datuk Seri Hadi Awang bakal menyampaikan ucapan dasar sekali gus merasmikan Muktamar PAS ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini.

Dalam beberapa keadaan, muktamar kali ini mencatat sejarah tersendiri dan antara yang paling ketara pastinya kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku undangan khas.

Kelmarin, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilihat mengikuti majlis perasmian Dewan Pemuda PAS Pusat, manakala Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad turut kelihatan pada majlis perasmian Dewan Muslimat PAS, semalam.

Wajah politik matang dalam suasana Malaysia baharu ini semestinya membuatkan ramai yang ternanti-nanti isyarat bakal diberi Hadi selaku Presiden PAS menerusi ucapan dasarnya.

Apa juga mesej bakal disampaikan pemimpin veteran itu akan menjadi penentu hala tuju PAS ke arah menyusun atur gerak langkahnya pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ia dianggap penting demi kelangsungan PAS, lebih-lebih lagi dalam keadaan ramai membicarakan soal kerjasamanya dengan UMNO - dua parti yang selama ini dilabel sebagai lawan tradisi sejak sekian lama.

Mengikut pengalaman terdahulu, PAS lazimnya menyerahkan soal penentuan dasar dan strategi kelangsungan politiknya kepada Majlis Syura Ulama selaku badan tertinggi parti berkenaan.

Justeru, keadaan itu hampir pasti diteruskan dalam soal membabitkan langkah berbaik-baik dengan UMNO susulan beberapa bayangan yang diberi Hadi sebelum ini.

Turut menarik untuk diikuti hari ini adalah intipati perbahasan ucapan dasar dengan tumpuan perwakilan pastinya terarah kepada pencapaian PAS dalam PRU-14 dan membuka ruang kerjasama dengan UMNO.

522 dibaca
Berita Harian X