Sabtu, 15 September 2018 | 1:08am
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Program Bicara Maal Hijrah di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

Azizah akan letak jawatan bila saya jadi PM - Anwar

JOHOR BARU: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, akan meletak jawatan apabila beliau menjadi Perdana Menteri.

Katanya, sekarang bukan masa yang sesuai bagi Dr Wan Azizah melepaskan jawatannya dalam Kabinet.

"Kenapa perlu letak jawatan sekarang? Kalau beliau letak jawatan sekarang, PKR akan kehilangan jawatan Timbalan Perdana Menteri," katanya.

Tambah Anwar, beliau tidak akan terus menyertai kerajaan sekiranya menang pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson yang akan datang.

"Seperti mana yang saya katakan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bila saya menang (kerusi Parlimen Port Dickson), saya akan menyertai kerajaan, sekarang saya mahu beri laluan kepada Dr Mahathir untuk meneruskan tanggungjawabnya sehingga sampai giliran saya.

"Jadi, bersabarlah, bila saya jadi Perdana Menteri, Dr Wan Azizah akan letak jawatan. Bila? Apabila sampai giliran saya menjadi PM. Orang ramai membangkitkan isu ini jadi saya kena jelaskan," katanya

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena program Bicara Maal Hijrah bertajuk 'Hijrah ke arah Malaysia Baru' di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim; Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Sebuah portal berita semalam melaporkan, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT), Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji, sebagai berkata, Anwar sedang mewujudkan dinasti keluarga dalam Parlimen.

Beliau juga berkata, Anwar patut meminta isterinya, Dr Wan Azizah atau anaknya, Nurul Izzah Anwar untuk mengosongkan kerusi Parlimen mereka, bukannya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, seorang bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), untuk mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson.

3228 dibaca
Berita Harian X