Jumaat, 14 September 2018 | 10:00pm
GAMBAR fail, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa. - Foto Hafiz Sohaimi

UMNO belum ada 'kata putus'

KUALA LUMPUR: Pendirian UMNO untuk meletakkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson akan diputuskan menerusi mesyuarat biro politiknya pada 24 September ini.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa, berkata UMNO mengambil maklum berhubung tindakan mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding mewakili PKR.

“UMNO belum ada keputusan atau pendirian sama ada akan meletakkan calon di PRK berkenaan, sehingga biro politik bersidang pada 24 September depan manakala BN dijangkakan akan mengadakan mesyuarat selepas itu.

“Pendirian rasmi UMNO hanya akan dikeluarkan ibu pejabat parti atau presiden pada masa yang difikirkan sesuai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Parlimen Port Dickson, P.132 kosong susulan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, mengumumkan pada sidang media khas di Ibu Pejabat PKR, kelmarin, untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi itu sebagai ‘langkah pertama’ mengangkatnya menjadi Perdana Menteri Kelapan.

Kali terakhir Anwar, 71, bertanding ialah pada PRU-13 di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang menyaksikan beliau menewaskan Mazlan Ismail (BN) dan Abdullah Zawawi Samsudin (BEBAS) dengan majoriti 11,721 undi.

Kelayakan Anwar sebagai Ahli Parlimen Pematang Pauh terlucut apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun selepas menolak rayuannya daripada hukuman penjara bagi kesalahan meliwat pada Februari 2015.

Bagaimanapun, beliau diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu, tujuh hari selepas PH menjadi kerajaan.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, sebarang kenyataan atau pendirian ahli dan pemimpin UMNO berhubung perkembangan PRK Port Dickson dianggap sebagai pendapat peribadi masing-masing.

“Mereka berhak dan tidak dihalang untuk berbuat demikian,” katanya.

1364 dibaca
Berita Harian X