Jumaat, 14 September 2018 | 8:51pm
PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Anggota Tertinggi PPBM di Menara Yayasan Selangor. - Foto BERNAMA

PH tidak akan bekerjasama dengan UMNO - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan UMNO kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, walaupun UMNO ingin mengadakan kerjasama dengan PKR, parti itu tidak akan diterima menyertai gabungan PH.

“PH tidak akan bekerjasama dengan UMNO, namun jika ada mana-mana ahli UMNO ingin menyertai PH, kita akan menerima mereka.

“Tetapi kita tidak akan menerima mereka sebagai sebuah parti dalam PH,” katanya pada sidang selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang berhasrat berkempen membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Mohamed Nazri dilaporkan berkata, alasannya mahu berkempen untuk Anwar kerana ia adalah yang terbaik untuk UMNO bagi memastikan parti itu kembali ke dalam kerajaan.

“Saya tidak jangka UMNO akan jadi kerajaan dalam masa terdekat, tetapi terdapat pendapat dalam kalangan ahli Parlimen UMNO bahawa kita perlu kembali menjadi kerajaan secepat mungkin.

“Satu-satunya cara untuk melakukan perkara itu adalah dengan bekerjasama dengan PKR... Jadi, kita perlu tunjuk niat baik jika kita ingin jadi kerajaan, biarkan Anwar menang,” katanya.

2002 dibaca
Berita Harian X