Jumaat, 14 September 2018 | 12:14pm

Saya sudah 'move on' - Zuraida

PETALING JAYA: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menganggap segala isu yang membabitkan pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson sudah terjawab.

Sehubungan itu beliau mahu menumpukan kepada usaha untuk membantu kerusi itu kekal milik parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), berkata selaku seorang yang setia kepada parti, beliau mahu terus berjuang.

“Saya seorang yang setia dengan parti, oleh itu saya sudah ‘move on’, saya tidak mahu lagi melihat ke belakang, saya mahu bergerak ke depan.

“Apa yang sudah berlaku, biarkan ia berlalu, dan saya harap ia tidak akan berulang, pendirian saya kekal sama, saya seorang yang profesional dan semua perkara perlu mengikut proses,” katanya.

Zuraida berkata demikian kepada pemberita ketika hadir menziarahi keluarga kanak-kanak perempuan tiga tahun yang maut selepas terjatuh dari tingkat 17 di Blok A, PPR Kota Damansara, di sini, hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan beberapa pemimpin UMNO yang sedia membantu kempen Datuk Seri Anwar Ibrahim, Zuraida berkata itu terpulang kepada mereka.

“Kalau mahu tolong, tolonglah, kalau mereka sukarela, saya pun sukarela, di dalam politik kita tidak tahu apa ketentuannya.

“Saya akan tunggu tarikh pilihan raya, sebagai ahli parti saya akan terus berjuang untuk parti,” katanya.

Rabu lalu, Zuraida menyelar keputusan mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson didakwa ‘didalangi’ sesetengah pemimpin parti itu yang dibuat tidak mengikut saluran betul.

Beliau dilaporkan berkata tindakan itu dilabelnya sebagai dangkal kerana tidak dibuat secara bersama.

Katanya, tindakan yang menyisihkan suara pemimpin lain dalam PKR cuma melambangkan sistem dalam PKR tidak demokratik dan dimanipulasi kumpulan tertentu.

PRK Port Dickson bakal diadakan berikutan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Anwar yang juga Ketua Umum PKR untuk bertanding, sekali gus membuka laluan untuk pemimpin itu diangkat menjadi Perdana Menteri kelapan.

2670 dibaca
KETUA Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin melawat tempat kejadian seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun yang maut selepas terjatuh dari tingkat 17 di Blok A, PPR Kota Damansara, Petaling Jaya, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin
Berita Harian X