Khamis, 17 Mei 2018 | 1:58pm
ANNUAR serah gaji pertamanya sebagai Ahli Parlimen Ketereh selepas PRU-14. - Foto Malai Rosmah Tuah

Annuar serah gaji pertama kepada individu hilang pekerjaan

KOTA BHARU: Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, menyerahkan gaji pertamanya sebagai Ahli Parlimen Ketereh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kepada 176 individu lantikan politik yang hilang pekerjaan di kawasan Parlimen itu.

Mereka yang menerima bantuan termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP), guru al-Quran, guru takmir dan mubaligh.

Annuar menerusi status yang dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya, berkata beliau berbuat demikian kepada 176 individu di kawasan Parlimen berkenaan yang hilang pendapatan sekelip mata apabila jawatan mereka ditamatkan.

Katanya, golongan terbabit sudah berkhidmat hampir 30 tahun, sejak 1990 dan diwujudkan atas ihsan Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Selain merayu bagi pihak mereka kepada kerajaan terutama mereka yang paling berkuasa dalam hal ehwal kewangan, Lim Guan Eng, apakah lagi yang dapat saya buat?

"Sebagai langkah sementara, hari ini saya mengambil keputusan untuk sedekahkan keseluruhan gaji bulanan pertama saya kepada mereka walaupun hanya dapat sedikit seorang.

"Sekurang-kurangnya mereka boleh berbelanja untuk berbuka puasa. Sekiranya ada sesiapa yang ingin membantu, boleh hubungi saya," katanya yang turut meminta mereka yang kehilangan pekerjaan itu bersabar kerana Allah sentiasa bersama insan yang teraniaya.

Pada masa sama, Annuar juga dikatakan membuat surat rayuan terbuka bagi pihak pegawai pembangunan Agama Islam kepada Guan Eng yang memohon penamatan khidmat pegawai berkenaan dibatalkan.

Annuar turut memaklumkan penamatan itu adalah penganiayaan ketika umat Islam menyambut Ramadan hari ini dan meminta Guan Eng segera melakukan sesuatu untuk memperbetulkan perkara berkenaan.

19067 dibaca
Berita Harian X