Khamis, 17 Mei 2018 | 11:37am
ASYRAF Wajdi Dusuki. - Foto Syamsi Suhaimi

UMNO perlu muhasabah selepas kalah PRU-14

KOTA BHARU: UMNO sewajarnya bermuhasabah dan tidak perlu menuding jari kepada mana-mana pihak terhadap kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata setiap yang berlaku mungkin ada hikmah di sebalik ujian Allah.

"Mungkin Allah mahu UMNO kembali kepada falsafah dan asas perjuangannya yang asal sekali gus memperbaiki segala kelemahan dan keburukan lantaran kelekaan dan kelalaian diri sendiri.

"Justeru UMNO perlu bangkit daripada kekalahan ini dengan jiwa yang lebih besar, jati diri yang kental dan semangat juang yang tinggi demi menjamin hak dan suara rakyat benar-benar dipelihara dan dimartabatkan," katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Asyraf sebelum ini bertanding di Parlimen Pasir Puteh, namun kerusi berkenaan dimenangi PAS menerusi Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, dengan majoriti 1,360 undi.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, selepas seminggu rakyat memilih kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH), ramai mulai membicarakan mengenai masa depan UMNO, tidak kurang juga dalam kalangan pendokong yang mulai gundah dan ada yang meninggalkan bahtera perjuangan.

Katanya, hakikat dan fakta yang perlu diperakui semua, UMNO masih menjadi parti terbesar mewakili umat Islam dan Melayu.

"UMNO masih mempunyai 54 kerusi dan didokong lebih 3.5 juta rakyat dalam PRU-14. Berbanding PH yang dikuasai 73 kerusi bukan Islam dan Melayu hanya 41 kerusi mewakili Islam dan Melayu.

"Ini bermakna perjuangan UMNO selaku parti utama yang mewakili umat Islam dan Melayu masih penting dan relevan. Bersama komponen lain, Barisan Nasional (BN) masih mempunyai 78 kerusi.

"Sudah tentu peranan BN dan UMNO amat penting untuk memastikan suara rakyat terus dibawa sekurang-kurangnya sebagai anggota pembangkang yang efektif, dihormati dan menjadi pengimbang dalam memastikan negara terus dipacu dengan gemilang," katanya.

8365 dibaca
Berita Harian X