;
Isnin, 14 Mei 2018 | 2:45pm
PENGERUSI MCA Negeri Sembilan, Datuk Seri Lim Chin Fui. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Pengerusi MCA Negeri Sembilan letak jawatan

SEREMBAN: Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Datuk Seri Lim Chin Fui, meletak jawatan selepas parti itu sekali lagi tewas di semua kerusi ditandingi di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dalam pengumuman pada sidang media diadakan khas untuk akhbar berbahasa Cina di sini, kelmarin, beliau turut melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi MCA dan Ketua Bahagian MCA Teluk Kemang.

Chin Fui yang tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah pada PRU-14, dilaporkan sebagai berkata beliau meletakkan jawatan terbabit kerana bertanggungjawab dengan prestasi buruk parti itu untuk kali kedua berturut-turut di Negeri Sembilan.

"Sebagai ketua, saya perlu bertanggungjawab dan meletakkan jawatan. Semua tugas saya sebagai Pengerusi MCA negeri akan diserahkan kepada timbalan, Datuk Yap Ching Leong," katanya.

Pada PRU-14, MCA bertanding di kerusi Parlimen Seremban dan Rasah, selain 10 kerusi DUN, iaitu Chennah, Bahau, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Senawang, Chuah dan Lukut.

Parti itu turut mengalami kekalahan yang sama pada PRU-13.

5594 dibaca
Berita Harian X