;
Ahad, 13 Mei 2018 | 11:46pm
DATUK Bolkiah Ismail, Datuk Limus Juri, Datuk Masiung Banah dan Datuk James Ratib hadir di kediaman Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

4 lagi ADUN BN sokong Shafie

KOTA KINABALU: Empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menemui Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di kediamannya di Luyang dekat sini, hari ini, bagi menyatakan sokongan mereka kepada beliau dan kerajaan pimpinannya.

Mohd Shafie berkata empat ADUN itu ialah Datuk Bolkiah Ismail (Pitas) dan Datuk James Ratib (Sugut) daripada UMNO, serta Datuk Masiung Banah (Kuamut) dan Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) daripada UPKO.

"Kehadiran mereka hanya memberi sokongan kepada saya, dan saya tidak menolak sokongan itu," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya, hari ini.

Semalam, Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah ke-15 di Istana Negeri, sekali gus menggantikan kerajaan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) pimpinan Tan Sri Musa Aman dalam tempoh 48 jam selepas hilang majoriti mudah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rabu lalu, Warisan memperoleh 21 kerusi DUN, manakala rakan-rakan Warisan dari Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP memperoleh enam kerusi dan PKR dua kerusi.

Namun tindakan enam ADUN BN yang menyatakan sokongan dan menyertai Warisan, membolehkan Warisan membentuk kerajaan apabila berjaya mendapat majoriti mudah dengan memperoleh 35 kerusi DUN.

--BERNAMA

6028 dibaca
Berita Harian X