;
Ahad, 13 Mei 2018 | 10:20am
GAMBAR fail, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaludin. - Foto Muhd Asyraf Sawal

MBM mahu kerajaan baharu terus perkasa belia

KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) mahu kerajaan baharu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya terus memperkasakan pembangunan belia di Malaysia serta menggalakkan pembabitan golongan muda dalam berpersatuan.

Presiden MBM, Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamed di atas perlantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-7 serta kejayaan Pakatan Harapan membentuk Kerajaan Persekutuan pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14).

Kata beliau, dengan cabaran yang ada, MBM akan sentiasa menyokong selain memberi pandangan kepada kerajaan bagi memastikan nasib serta masa depan generasi muda sentiasa dibela dan diberi keutamaan.

"Harapan utama MBM adalah di bawah kepimpinan Dr Mahathir, golongan belia di Malaysia akan terus sejahtera dan bersatu padu.

"Selain itu, belia juga perlu memiliki semangat nasionalisme yang tinggi ekonomi yang kukuh serta berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

"Kepimpinan belia di semua peringkat mengucapkan selamat meneruskan agenda pembangunan negara kepada Dr Mahathir dan semua kementerian dalam memperkasakan serta membangunkan lagi belia di Malaysia," katanya menerusi kenyataan, di sini.

Menurut Mua'amar Ghadafi lagi, selaku badan induk pertubuhan belia di Malaysia, MBM mahu rakyat menerima keputusan PRU-14 dengan hati terbuka.

Mua'amar Ghadafi berkata, sebagai negara demokrasi matang, tidak timbul amalan pilih kasih, balas dendam dan penafian hak terhadap pihak lawan apatah lagi panik terhadap apa yang berlaku.

Katanya, apa yang penting adalah semua pihak perlu menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk bersama membangunkan Malaysia menjadi lebih baik dan maju lagi.

"Untuk penjawat awam, kembali kepada tugasan dalam melaksanakan dasar kerajaan dan bekerja sebagai pelaksana yang terbaik sebagai tanda cinta dan kasih kepada negara tercinta.

"MBM menghargai kesungguhan golongan muda dalam menyatakan suara dan masa depan kerana sesungguhnya slogan belia penentu masa depan negara adalah slogan kosong tanpa idealisme dan kesan.

"Tahniah kepada semua parti politik yang bertanding, yang menang tidak menang semua dan kalah tidak kalah seluruhnya kerana apa yang penting semua pihak perlu muhasabah sejujurnya sebagai 'check and balance' kepada negara," katanya.

Sementara itu, Mua'amar Ghadafi berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan terdahulu terutama Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia di atas sokongan tidak berbelah bahagi kepada MBM.

Kata beliau, gandingan berkenaan serta kesungguhan mantan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin Abu Bakar mencatatkan sejarah tersendiri dalam menggerakkan program-program 'momental' belia di seluruh negara.

799 dibaca
Berita Harian X