;
Khamis, 10 Mei 2018 | 8:10pm
PRESIDEN Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan. - Foto Khairull Azry Bidin

Jeffrey tawar formula baharu untuk Sabah

KOTA KINABALU: Satu pakatan baharu berasaskan parti tempatan Sabah tanpa sebarang ikatan dengan parti dari Semenanjung, dicadang diwujudkan bagi membentuk kerajaan negeri.

Ia disuarakan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan selepas parti itu yang memenangi dua kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menerima kerjasama dengan semua 29 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).

Keputusan PRU-14 menyaksikan BN dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) bersama Pakatan Harapan (PH) masing-masing mendapat 29 kerusi sekali gus meletakkan STAR sebagai penentu pihak yang bakal mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Berdasarkan kedudukan itu, Jeffrey berkata, pihaknya melihat kemungkinan struktur baharu kepemimpinan merangkumi semua pemimpin Sabah bagi membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah 31 kerusi daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kita membuat keputusan untuk bekerjasama dengan 29 Ahli ADUN BN Sabah untuk membentuk kerajaan. STAR bukan menyertai BN tetapi ia adalah kerjasama untuk menubuhkan kerajaan.

"Ini adalah untuk kebaikan dan kestabilan negeri kerana lebih mudah bekerja dengan kumpulan di sini (BN) berbanding beberapa kumpulan 29 kerusi di sebelah sana," katanya pada sidang media dengan Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman di Sri Gaya di sini, hari ini.

Jeffrey memenangi kerusi DUN Tambunan selepas mengalahkan abangnya yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Terdahulu, kenyataan dari Jeffrey yang tersebar di media sosial menjelaskan semua 29 ADUN yang menang atas tiket BN melihat untuk menubuhkan satu pakatan parti Sabah.

Dalam kenyataan itu, Jeffery menyatakan beliau tidak menyertai BN atau WARISAN selain menjelaskan beliau ada bercakap dengan Musa mengenai usaha mencari penyelesaian politik terbaik demi kebaikan rakyat Sabah.

Rancangan itu turut termasuk langkah untuk ADUN UMNO keluar parti dan BN supaya pemimpin terbabit dapat merangka masa depan Sabah mengikut aspirasi, budaya dan semangat mereka sendiri yang bebas daripada kawalan Kuala Lumpur.

ADUN BN Kadamaian, Ewon Benedick, berkata satu cadangan dikemukakan iaitu untuk membentuk landasan baharu menggantikan BN bagi 31 ADUN termasuk dua ADUN STAR untuk membentuk kerajaan negeri.

Katanya, cadangan itu sama ada menerusi penubuhan sebuah parti baharu atau ADUN keluar daripada parti masing-masing dan menyertai PBS sebagai landasan politik mereka ke arah membentuk kerajaan baharu Sabah.

13534 dibaca
Berita Harian X