;
Khamis, 3 Mei 2018 | 9:20am
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto BERNAMA

Malaysia ke belakang jika pakatan memerintah - Hadi

ALOR SETAR: Malaysia akan bergerak ke belakang sekiranya pakatan pembangkang yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad diberi mandat untuk memerintah pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14).

Perkara terbabit ditegaskan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, apabila pakatan pembangkang yang diketuai DAP mahu melantik bekas Perdana Menteri itu menerajui Putrajaya sebelum jawatan nombor satu negara diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sekiranya Dr Mahathir serahkan jawatan itu (Perdana Menteri) kepada Anwar... ia tetap akan jadi langkah ke belakang kerana kedua-dua individu terbabit pernah bergandingan dalam Kerajaan Persekutuan dan UMNO sebelum menyertai pembangkang.

"Kita juga sukar hendak bekerjasama dengan Pakatan Harapan kerana PKR dan DAP bersekongkol jatuhkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim seorang tokoh dunia korporat yang berjaya mengurus kewangan dengan baik tetapi dituduh sebagai kedekut.

"Khalid memaklumkan beliau enggan melayan permintaan pihak tertentu yang mahukan wang kerana semua wang terbabit milik rakyat dan setiap wang dibelanjakan mesti ada bukti apa yang dibelanjakan.

"Perkara ini saya maklumkan kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Allahyarham ketika itu, bersetuju tindakan Khalid maka sebab itulah, PAS mempertahankan Khalid ketika cuba ditumbangkan.

"Bagaimanapun, Khalid akhirnya diturunkan juga dengan langkah Kajang (oleh PKR)," katanya ketika berucap pada program Ceramah PRU14 : Malaysia Sejahtera di Medan Ilmu Sungai Baru Gunong, di sini malam tadi.

Abdul Hadi merujuk kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang susulan peletakan jawatan Lee Chin Cheh secara tiba-tiba pada Januari 2014, tidak sampai setahun selepas memenangi kerusi berkenaan dalam PRU-13 pada Mac 2013.

"Langkah Kajang" dikritik kerana menyalahgunakan sistem pilihan raya yang menyaksikan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertanding untuk mengambil alih kerusi tersebut.

Kemenangan Wan Azizah mencetuskan krisis politik Selangor apabila Khalid enggan melepaskan jawatan Menteri Besar sehingga membawa kepada pemecatannya daripada PKR dan jawatannya diambil alih oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam perkembangan mengenai tuduhan Dr Mahathir bahawa Abdul Hadi seorang munafik kerana didakwa bekerjasama dengan UMNO, beliau berkata Mahathir perlu mendapat pandangan dari mufti terlebih dahulu sebelum melabelkan dirinya sebagai munafik.

"Munafik adalah istilah agama, dia (Mahathir) bukan ahli agama... kalau tanya pasal penyakit tibi, perubatan, dia layaklah.

"Patutnya saya tak jawab, biar dia tanya mufti yang tahu agama, apa makna munafik itu... biar munasabah takrifannya.

"Selama ini dan sejak dahulu, saya tidak pernah kata sesiapa kafir. Yang disebut hanya tentang batas iman dan kufur pada orang Islam, itu sahaja.

"Mereka yang membawa budaya kafir mengkafir dalam PAS sudah pun masuk UMNO. Yang mana dalam politik kita tak bermusuh selama-lama, berkawan selama-lama. Cuma kita diajar berkawan ada batas, bermusuh ada batas.

"Kerana suatu hari akan ada perubahan. Sebab itu saya nasihatkan orang PAS kalau berkelahi ada batasnya, kita amal politik matang dan sejahtera," katanya.

Sementara itu, ditanya tuduhan pakatan pembangkang bahawa PAS lemah di Kedah, Abdul Hadi mendakwa kegagalan parti Islam terbabit memerintah negeri jelapang padi adalah kerana strategi Dr Mahathir sewaktu berkuasa sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.

"Mengapa PAS tak menang?.. ini kerana strategi Mahathir yang buat kawasan, menghalang PAS untuk menang tetapi perubahan yang berlaku pada hari ini, Insya Allah PAS boleh menang.

"Kita yakin kerana PAS paling kuat adalah di Kedah berbanding Kelantan dan Terengganu kerana mempunyai cawangan serta ahli yang paling ramai," katanya.

31994 dibaca
Berita Harian X