Khamis, 12 April 2018 | 3:45pm
DATUK Munirah Abdul Hamid. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Jaminan peluang kedua dalam JomBN sesuai

KUALA LUMPUR: Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyifatkan bantuan peluang kedua yang berbentuk latihan kemahiran terhadap golongan sasar di dalam manifesto Jaminan Orang Muda Barisan Nasional (JomBN) baru-baru ini sebagai suntikan semangat kepada belia untuk mencapai potensi maksimum.

Golongan ini termasuk bekas penagih, bekas pesalah juvana, gelandangan, dan ibu tunggal, sering tercicir atau dilupakan namun diambil kira di dalam manifesto terbabit.

Pengasas Pertiwi Soup Kitchen, Datuk Munirah Abdul Hamid, berkata golongan seperti ini memerlukan pembabitan semua pihak termasuk kerajaan untuk terus memberi sokongan dan peluang kedua bagi meneruskan hidup.

Katanya rata-rata gelandangan mempunyai latar belakang yang tiada sistem sokongan seperti keluarga justeru mereka mudah tersasar dan dipengaruhi perkara negatif.

"Kami sedia untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam memberi golongan terpinggir ini satu kehidupan baru.

"Penyediaan dana amat penting, kerana untuk menjalankan program latihan dan kemahiran kita kekurangan dana, justeru sekiranya inisiatif kerajaan untuk membantu golongan ini maka ia cukup dialu-alukan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ahli Lembaga Pengurus Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH), Hafizi Harun, menyokong usaha kerajaan yang membenarkan peluang kedua kepada bekas penagih.

"Sudah sampai masa penagih ini dilihat sebagai masalah kesihatan, ini kerana menerusi rekod kami bekas penagih boleh berubah jika diberi peluang dan dapat pulih dengan pemulihan sewajarnya.

"Peminggiran terhadap golongan ini bukan jalannya sebaliknya mereka memerlukan bantuan dan perhatian.

"Justeru saya juga berharap pada masa akan datang kerajaan terus membabitkan golongan ini dalam pelbagai jenis inisiatif khususnya dalam memperkasakan belia harapan bangsa," katanya.

JomBN menyarankan lapan inisiatif untuk memberi peluang melalui pelbagai latihan dan kemahiran platform yang sesuai.

Mereka akan dilatih dengan kemahiran dan latihan arus perdana untuk menghasilkan produk serta perkhidmatan bagi menjana pendapatan jangka panjang.

Pengerusi Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur dan Selangor (WITUS), Shiella Tukimin, berkata usaha yang ingin dilaksanakan kerajaan BN itu bertepatan dalam membantu ibu tunggal remaja khususnya pada peringkat awal diceraikan.

Katanya, di awal perceraian, kebanyakan golongan ibu muda terkapai-kapai untuk mencari haluan baharu bagi meneruskan kelangsungan hidup memandangkan mereka tidak bekerja.

"Kasihan kerana mereka buntu dan terpaksa merangkak dari awal untuk membina kehidupan semula. Mungkin sebelum ini bergantung kepada pendapatan suami, tetapi bila terjadi perceraian, semuanya harus bermula dari bawah.

"Apabila melihat manifesto yang ingin dilaksanakan BN ini, sedikit sebanyak melegakan kami sebagai NGO dalam memastikan nasib ibu tunggal ini terpelihara," katanya.

478 dibaca
Berita Harian X