Khamis, 29 March 2018 | 5:23pm
BENDAHARI Agung MIC, Datuk Seri S Vell Paari. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Tun M hipokrit kritik persempadanan semula

KUALA LUMPUR: Tindakan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik usul Persempadanan Semula menunjukkan sikap hipokrit bekas Perdana Menteri itu.

Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S Vell Paari, berkata sepanjang 22 tahun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, ada tiga kali persempadanan semula dilaksanakan.

"Dr Mahathir sudah lupa ke bahawa ketika 22 tahun sebagai Perdana Menteri, ada tiga kali persempadanan semula yang dijalankan pada 1984, 1994 dan 2003.

"Untuk beliau (Dr Mahathir) mengkritik persempadanan semula sekarang, seperti menggambarkan sikap hipokrit beliau," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Vell Pari berkata, persempadanan semula yang terakhir dilakukan pada 2003, diguna pakai untuk menentukan kawasan pilihan raya pada Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU-11), PRU-12 dan PRU-13.

Justeru, katanya, usul yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu adalah penting kepada semua pihak (parti politik dan rakyat).

Katanya, usul berkenaan juga sah dan mengikut Perlembagaan Persekutuan, di bawah Perkara 113 (2) (ii) yang menyebut : "Terdapat selang waktu tidak kurang dari lapan tahun antara tarikh penyelesaian satu kajian, dan tarikh permulaan kajian berikutnya, di bawah Klausa ini."

"Saya menyeru kepada Ahli Parlimen pembangkang supaya tidak mempolitikkan isu persempadanan semula dan memberi tumpuan berkhidmat kepada rakyat di kawasan masing-masing.

"Persempadanan semula adalah sebahagian daripada sistem dan proses demokrasi Malaysia. Pembangkang tidak patut campur tangan dalam peranan dan tanggungjawab SPR menjalankan tugasnya," katanya.

1510 dibaca
Berita Harian X