Jumaat, 23 March 2018 | 4:11pm
PENGERUSI DAP Perak, Nga Kor Ming. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Nga Kor Ming bertanding di Teluk Intan?

IPOH: Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming tidak menolak spekulasi beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Teluk Intan yang disandang Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Kor Ming juga menegaskan, beliau hanya akan bertanding di Perak dan bukan luar dari negeri itu.

"Saya nak tegaskan, saya tidak akan bertanding di luar Perak, saya sayang Perak dan anak jati negeri ini, mustahil saya akan bertanding di negeri lain.

"Ada yang kata saya nak pindah ke Johor, memang tak mungkin terjadi, tidak dinafikan akan ada percaturan muka lama dan baru cuma hari ini bukanlah harinya (untuk umum)," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping itu turut menyatakan GERAKAN Taiping jangan terlalu awal bergembira dengan spekulasi terbabit.

"Saya dengar bila khabar angin itu (bertanding di Teluk Intan) tersebar, GERAKAN di Taiping sudah berpesta meraikannya.

"Seolah-olah mereka ingat sudah pasti saya akan ke Teluk Intan, jangan terlalu gembira dan kita lihat nanti apa yang akan berlaku," katanya.

Pada PRU13 lalu, DAP memenangi kesemua tujuh kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN yang ditandinginya di Perak, tetapi kemudiannya kalah di Teluk Intan dengan majoriti tipis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2014 selepas Ahli Parlimennya, Seah Leong Peng meninggal dunia pada 1 Mei 2014.

Dalam PRK itu, Siew Keong mengalahkan Dyana Sofya Mohd Daud dengan hanya 238 majoriti undi.

DAP Perak, semalam turut mengumumkan dua wakil rakyatnya di DUN Jelapang, Teh Hock Ke dan Chen Fook Chye (Keranji) menyatakan hasrat tidak akan bertanding mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka.

Fook Chye yang ditemui turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundinya sepanjang perkhidmatannya sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

"Keputusan ini tidak dipengaruhi sesiapa malah saya sudah menyatakannya kepada kepimpinan DAP sejak 2014 lagi.

"Saya mahu beri tumpuan kepada keluarga dan beri peluang kepada muka baru untuk bertanding di kawasan itu," katanya.

1231 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »