Isnin, 19 March 2018 | 7:33pm
PENGERUSI SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah (kiri) bersalaman dengan Ketua Jurufoto BERNAMA, Zid Omar ketika Sesi Interaksi Bersama Pengerusi SPR di Wisma BERNAMA, hari ini. - Foto BERNAMA

Tempoh kempen PRU14 ambil kira perayaan - SPR

KUALA LUMPUR: Penentuan tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk musim perayaan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata, selain mesti memenuhi peraturan 11 hari tempoh minimum berkempen yang ditetapkan, SPR tidak boleh menetapkan tempoh berkempen mengikut kehendak mana-mana parti politik yang akan bertanding.

"Daripada segi tempoh, bergantung kepada kuasa SPR. Bagi SPR, kita perlu lihat banyak aspek. Perlu lihat kalendar, PRU jatuh pada bulan apa...adakah pada bulan puasa atau hari raya? Ini semua kita perlu ambil kira.

"Kalau tanya saya, saya setuju sahaja, (tempoh kempen) panjang tidak apa, pendek pun tidak apa tetapi kita mengharapkan supaya ada etika dalam berkempen," katanya pada sesi soal jawab dalam Taklimat Media dan Pilihan Raya di Wisma BERNAMA di sini, hari ini.

Mohd Hashim berkata demikian ketika menjawab soalan Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datuk Zulkefli Salleh mengenai permintaan sesetengah parti politik yang mahu tempoh kempen yang lebih panjang pada PRU14.

Mengenai kempen undi rosak yang tular di media sosial baru-baru ini, Mohd Hashim berkata golongan berkenaan tidak sepatutnya meluahkan kemarahan dengan cara itu sebaliknya, menggunakan kuasa mereka sebagai pengundi untuk memilih pentadbiran negara.

Beliau berkata, dengan negara sudah mencapai kemerdekaan selama 60 tahun dan bakal mengadakan PRU yang ke-14, gerakan seperti itu tidak wajar berlaku.

"SPR tidak rugi apa-apa. Hendak marah kepada parti politik? Itu bukan caranya, sepatutnya jika marah kepada parti politik, mengundilah," katanya.

Dalam PRU13, Mohd Hashim berkata, sebanyak 173,868 atau 1.3 peratus undi telah ditolak daripada keseluruhan 13.26 juta pengundi antaranya kerana kertas undi diconteng sehingga tidak diketahui calon mana yang dipilih atau akibat memangkah kesemua calon pada kertas undi.

"Jadi, pada PRU14 ini, adakah perkara yang sama akan dibuat atau hendak merancakkan lagi keadaan sebegitu?" katanya sambil meminta kerjasama pihak media membantu SPR untuk memberi kesedaran kepada pengundi mengenai perkara itu.

Sehingga Suku Tahun Keempat 2017, SPR merekodkan 14,968,304 pemilih berdaftar melibatkan 7.3 juta lelaki (49.4 peratus) dan 7.5 juta perempuan (50.6 peratus), dengan 6.2 juta daripadanya berusia 21 hingga 39 tahun.

Mengulas isu 3.6 juta warga Malaysia berusia 21 tahun ke atas yang masih belum mendaftar sebagai pemilih, Mohd Hashim melahirkan kebimbangan berhubung perkara itu kerana ia mampu mencorakkan pola pemilihan terhadap calon-calon pada masa depan.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak mewajibkan rakyat Malaysia mendaftar sebagai pemilih dan mengundi, beliau berkata mereka seharusnya mempunyai kesedaran mengenai hak dan tanggungjawab sebagai pengundi dalam menentukan masa depan negara.

Menjawab pertanyaan Ketua Pengarang BERNAMA, Datuk Zakaria Abdul Wahab mengenai bendera pelbagai parti politik yang terdapat di banyak kawasan meskipun tarikh PRU14 belum diumumkan, beliau berkata SPR tidak mempunyai kuasa untuk mengekang perbuatan itu.

"Jika sebelum dibubarkan, kuasa untuk menurunkan bendera adalah di bawah pihak berkuasa tempatan dan terpulang kepada mereka untuk mengambil tindakan atau tidak.

"Selepas (Parlimen) dibubarkan, barulah SPR akan mengambil alih dan menetapkan peraturan-peraturan. Ada pasukan jawatankuasa yang memantau dalam tempoh kempen. (Antaranya) tidak boleh menggantung poster yang menggambarkan imej buruk individu tertentu," katanya. - BERNAMA

1945 dibaca
Berita Harian X