Rabu, 14 March 2018 | 2:20pm
MOHD Rafizi Ramli bercakap kepada wartawan selepas menyampaikan ucapan buat kali terakhir usul menjunjung kasih Yang di- Pertuan Agong selepas sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto Asyraf Hamzah

Rafizi ucap selamat tinggal Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan (PKR), Rafizi Ramli, hari ini mengumumkan dalam Dewan Rakyat yang beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden PKR itu berkata demikian ketika memulakan ucapan membahaskan usul titah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Dalam ucapannya, Rafizi mengucapkan terima kasih dan memohon maaf kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan timbalannya serta Ahli Parlimen pihak kerajaan sepanjang Dewan Rakyat bersidang jika ada bahasa serta tingkah lakunya menyinggung perasaan.

"Yang dihormati Yang Dipertua, Ahli-ahli Dewan. Ini adalah ucapan saya yang terakhir dalam dewan memandangkan saya tidak akan bertanding pada PRU-14 akan datang.

"Saya akan bermula dengan mengucapkan jutaan terima kasih dan merakamkan penghargaan kepada Yang Dipertua, Datuk-datuk Seri Timbalan Yang Dipertua yang selalu memberi ruang dan pertimbangan kepada saya berhujah.

"Saya berdoa supaya dewan ini akan lebih dimuliakan pada masa akan datang. Saya juga ingin memohon maaf sekiranya kritikan pedas kepada pihak kerajaan selama lima tahun di dalam dewan ini, ada yang melukakan hati ahli dewan di sebelah sana (kerajaan).

"Saya tidak pernah ada perasaan benci, malah saya cukup senang dengan kawan dari sebelah sana yang turut bertukar-tukar kritikan.

"YB (Yang Berhormat) Kinabatangan, Lenggong, Tenggara, malah Tanjung Karang yang selalu mengkritik saya dengan keras, kami sebenarnya baik di luar," katanya.

Rafizi dipercayai membuat keputusan itu selepas beliau dijatuhi hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 7 Februari lalu kerana membocorkan dokumen penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC), pada Mac 2012.

Beliau didapati bersalah kerana mendedahkan maklumat perbankan mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).

Pada PRU-13, Rafizi bertanding di Parlimen Pandan dan menang dengan undi 48,183 selepas menewaskan dua pencabar.

Rafizi memperoleh 26,729 undi majoriti, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Gary Lim Chin Yee yang memperoleh 21,454 undi, manakala Allan Tan (Bebas) mendapat 2,415 undi.

8142 dibaca
Berita Harian X