Selasa, 13 Februari 2018 | 2:15pm
SUNGAI BESAR 28 MAY 2016. Bendera parti Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mula dipasang sekitar Pasir Panjang sempena menjelang Pilihanraya Kecil Parlimen Sungai Besar. STR/SHAZREEN ZAMZURISHAZREEN ZAMZURI

PKR nafi berlaku perebutan kerusi di Kelantan

KOTA BHARU: PKR Kelantan menafikan mana-mana parti dalam pakatan pembangkang berebut untuk meletakkan calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa, sebaliknya berkata mereka yang terpilih untuk bertanding berdasarkan kriteria yang ditetapkan iaitu dari segi kekuatan calon, kewangan dan jentera.

"Isu yang dibangkitkan oleh pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Kota Bharu semalam adalah isu terpencil dan hanya mewakili beberapa individu saja.

"Mereka perlu faham, kerusi Parlimen diberikan kepada PPBM paling banyak iaitu tujuh kerusi berbanding Parti Amanah Negara (PAN) hanya lima kerusi dan PKR dua kerusi.

"Jadi tidak timbul isu mengatakan PAN atau PKR mendominasi dalam pemilihan kerusi dan PPBM seolah-olah dipinggirkan dalam isu pengagihan kerusi," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, sayap kepemimpinan PPBM) Kota Bharu, hilang kepercayaan terhadap parti itu dan pakatan pembangkang, terutama dalam isu pengagihan kerusi menjelang PRU14.

Naib Ketua PPBM Bahagian Kota Bharu, Mohd Nor Hashim Che Min, turut berpendapat parti itu sudah tiada masa depan dan tidak akan menang pada PRU-14 dengan pelbagai masalah yang dihadapi.

Malah, Mohd Nor Hashim turut mendakwa pakatan pembangkang hanya didominasi DAP selain meminta Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya melepaskan jawatan kepada mereka yang masih muda demi masa depan parti.

Mengulas lanjut, Sukirman berkata, setakat ini isu pembahagian kerusi Parlimen dan 35 kerusi DUN sudah selesai.

"Hanya tinggal 10 kerusi DUN yang belum selesai termasuk di Demit, Tawang dan Kemahang dan perkara itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

"Perkara ini sudah jelas kerana kerusi PAN di kawasan majoriti PAS menang bawah 1,000 undi, PKR di kawasan bandar dan PPBM pula di kawasan FELDA termasuk di Gua Musang, Tanah Merah dan kerusi UMNO menang," katanya.

1421 dibaca
Berita Harian X