;
Ahad, 11 Februari 2018 | 4:14pm
Bekas ADUN PAS, Datuk Amiruddin Hamzah. - Foto fail NSTP/Mran Hamid

Gugurkan terus baiah jika yakin ahli setia

ALOR SETAR: PAS diminta menggugurkan terus sumpah baiah daripada dilafazkan calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) jika benar-benar yakin kesetiaan ahli dan kekuatan parti semakin kukuh.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS, Datuk Amiruddin Hamzah, berkata sumpah baiah sudah tidak diperlukan lagi jika PAS berasakan bahawa sokongan diterima parti itu berada di landasan yang teguh.

"Kalau kata dah teguh maka saya ingat PAS boleh semak semula untuk tak payah baiah langsunglah dalam kalangan individu yang bakal jadi calon nanti, " katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, bahawa PAS dijangka menggugurkan sumpah baiah talak tiga yang perlu dilafazkan calon parti itu pada PRU-14 kelak berikutan kesetiaan ahli dan kekuatan parti didakwa semakin kukuh.

Mengulas mengenai perkara itu, Amiruddin yang juga ADUN Anak Bukit, berkata PAS sepatutnya dari awal tidak menyentuh mengenai aspek rumah tangga dalam kandungan baiah mereka.

Beliau yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata ini kerana, tiada sebab seseorang ahli atau pemimpin PAS harus memperjudikan rumah tangga kerana ia tiada kaitan dengan fahaman politik disertai mereka.

"Sepatutnya dari awal lagi PAS tidak membuat baiah cerai sebab mempertaruhkan rumah tangga orang,...orang (ahli atau pemimpin PAS) bukan saja nak keluar parti, mesti ada sebab.

"Malah beberapa ulama sebelum ini pun ada kata bahawa baiah membabitkan perceraian ini tidak terpakai sebab tindakan keluar parti itu tiada kena mengena dengan rumah tangga," katanya.

Sementara itu, ADUN PAS, Mohd Nasir Mustafa, berkata PAS mengambil langkah yang betul dengan menggugurkan sumpah baiah talak tiga kerana syarat itu mungkin mempunyai khilaf sebelum ini.

"Eloklah itu (gugur baiah talak tiga) mungkin kalau ada khilaf apa-apa dengan baiah terdahulu elok diperbetulkan," katanya yang disebut-sebut sebagai pemimpin PAS harumanis kerana kecenderungannya menyokong Pakatan Harapan (PH).

Namun Mohd Nasir yang juga ADUN Kubang Rotan, berkata baiah masih perlu dikekalkan kerana ia umpama cara angkat sumpah jawatan cuma kandungannya biarlah relevan.

Katanya, sumpah baiah di Kedah yang dilafazkan sebelum ini tidak mempunyai masalah kerana tiada kandungan menyentuh aspek rumah tangga atau cerai talak.

"Baiah ini adalah tanggungjawab kedua-dua belah pihak iaitu pemberi dan penerima baiah," katanya.

1103 dibaca
Berita Harian X