Jumaat, 9 Februari 2018 | 8:41pm
KETUA Badan Pimpinan PPBM Negeri Sembilan, Baharuddin Ahmad (tiga dari kanan) bersama ahli PPBM Negeri Sembilan pada sidang media di Seremban, hari ini. - Foto Adzlan Sidek

PPBM NS tak puas hati, tuntut tambahan 4 kerusi

SEREMBAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Sembilan sekali lagi menegaskan pendirian mahu Pakatan Harapan (PH) mengadakan rundingan semula mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang di negeri ini.

Ketua Badan Pimpinan PPBM Negeri Sembilan, Baharuddin Ahmad, berkata mereka juga menuntut empat kerusi tambahan daripada enam yang diperuntukkan kepada parti itu sebelum ini.

"Kami mendesak pucuk pimpinan PH berunding semula dengan PPBM negeri mengenai isu ini dan mempertimbangkan penambahan kerusi DUN kepada PPBM.

"Kami mahu kerusi DUN Paroi, Ampangan, Labu dan Linggi yang diberi kepada PKR serta Parti Amanah Negara (PAN) diberi kepada PPBM," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penerangan PPBM negeri, Baharuddin Abu Bakar dan Ketua Pemuda PPBM negeri, Mohd Shahrul Anuar Abu Samah.

Konvensyen PH di sini pada 28 Januari lalu, kecoh apabila ramai ahli dan pemimpin PPBM, melakukan protes kerana tidak berpuas hati dengan pengagihan 36 kerusi DUN iaitu 12 milik PKR, DAP (11), PAN (7) dan PPBM (6, manakala bagi Parlimen, setiap parti mendapat dua kerusi.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata, pemimpin PPBM dan PH, sehingga kini belum membuka pintu rundingan dan perbincangan berhubung perkara itu dan mereka tidak akan berhenti mendesak sehingga permintaan itu dipenuhi.

Sementara itu, Mohd Shahrul Anuar berkata, mereka akan bertemu Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) minggu depan, untuk mendapatkan penjelasan mengenai laporan jabatan itu sedang meneliti 249 aduan dikemukakan ahli PPBM di seluruh negara terutama berkaitan dakwaan pelanggaran perlembagaan parti.

"Jika semua masalah itu berpunca daripada kelemahan pengurusan parti, kami mahu kepemimpinan PPBM bertanggungjawab dan menyelesaikannya secepat mungkin," katanya.

1605 dibaca
Berita Harian X