Sabtu, 3 Februari 2018 | 9:09pm
TAN Sri Mohd Hashim Abdullah. - Foto Mahzir Mat Isa

Sistem pilihan raya telus, adil

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan sistem pilihan raya yang diamalkan di negara ini telus dan adil serta tidak seperti yang digambarkan oleh pihak tertentu.

Pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata sikap pihak tertentu yang mempertikai ketelusan sistem pilihan raya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dianggap satu usaha propaganda yang cuba mengelirukan rakyat dan pengundi.

Beliau berkata, pada PRU-13, pihaknya menjemput pemerhati pilihan raya antarabangsa dari beberapa negara dan juga melantik wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan sebagai pemerhati.

"Pada PRU-14 ini juga, SPR akan menjemput pemerhati pilihan raya bagi meninjau ketelusan proses pilihan raya yang terdiri daripada pemerhati tempatan dan juga luar negara.

"Pemerhati tempatan terdiri daripada wakil NGO atau mana-mana organisasi tempatan yang layak serta berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik. Pemerhati antarabangsa pula terdiri daripada pelbagai negara yang mewakili negara Komanwel, ASEAN dan lain-lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut mempunyai pemerhati tetap yang terdiri daripada wakil calon yang juga anggota daripada parti yang bertanding iaitu pemerhati barung yang bertugas di barung semakan SPR, Ejen Tempat Mengundi (ETM) yang bertugas sebagai pemerhati dalam tempat mengundi semasa proses pengundian berlangsung dan Ejen Mengira Undi (EMU) yang bertugas sebagai pemerhati semasa proses pengiraan undi dijalankan.

Mohd Hashim berkata, pemerhati tetap itu berperanan penting sebagai pemerhati dan pemantau bagi setiap proses pengundian dan pengiraan di tempat mengundi (saluran) secara langsung.

Katanya, mereka berada di dalam bilik pengundian dan pengiraan undi sepanjang masa iaitu dari awal pusat pengundian dibuka hinggalah kepada pengiraan kertas undi dijalankan.

"Bukan sahaja proses yang berlaku di dalam tempat mengundi bahkan di luar tempat mengundi juga terdapat ejen calon yang bertugas sebagai ejen pemerhati barung semakan daftar pemilih. Segala proses pilihan raya yang berlaku di dalam dan luar tempat mengundi itu adalah dalam pengetahuan mereka," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan semua calon yang bertanding menghantar wakil atau ejen mereka bertugas semasa proses pilihan raya itu dijalankan.

SPR, katanya, akan menghebahkan nama wakil atau ejen yang bertugas pada hari terbabit supaya rakyat tahu bahawa proses pilihan raya berlaku dengan telus dan adil.

Mohd Hashim berkata, kehadiran ejen calon sebagai pihak ketiga membuktikan SPR tidak menafikan hak pemerhati untuk turut serta dalam proses pilihan raya.

"Justeru, parti politik tidak wajar berasa bimbang dengan ketelusan proses pilihan raya sedia ada yang diamalkan di negara ini," katanya.

918 dibaca
Berita Harian X