Sabtu, 13 Januari 2018 | 9:22pm
PENGERUSI Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar. - Foto Saddam Yusoff

Perpecahan pembangkang akan berterusan

TANJONG KARANG: Perpecahan dalam pakatan pembangkang akan tetap berterusan sekali pun gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kata Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Ini kerana, katanya, pemimpin dalam pakatan pembangkang mempunyai agenda peribadi untuk memastikan diri dan ahli keluarga mereka memegang jawatan.

Katanya, tidak mustahil Malaysia akan mencatat sejarah menyaksikan jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri akan diisi oleh suami isteri.

"Saya (juga) nak tanya adakah dia (Tun Dr Mahathir Mohamad) akan lantik Timbalan Perdana Menteri Kedua? Tapi kita tahu, DAP bijak, ...dia tak nak bising.

"Esok kalau menang, saya nak beri tahu, DAP pasti akan minta jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua," katanya selepas merasmikan program UMNO Bantu Rakyat 2.0 oleh Biro Kebajikan UMNO Malaysia dan UMNO Bahagian Tanjong Karang di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Noh berkata, jika pakatan pembangkang memenangi PRU-14, Malaysia mungkin mencatat sejarah, iaitu kalangan anak beranak memegang jawatan penting dalam negara.

"(Ini) teori sahaja. Kalaulah betul yang dirancang, Malaysia akan catat rekod. Perdana Menteri (disandang) suami, Timbalan Perdana Menteri (disandang) isteri. Setiausaha dia boleh jadi anak dia. Semua keluarga, semua ini parti keluarga.

"Tengok DAP, satu keluarga, bapa berebut anak pun berebut. PKR... bapa berebut, anak berebut, mak berebut, lagi ramai. Dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bapa berebut, anak berebut.

"Masing-masing nak perjuangkan anak (untuk) jadi Perdana Menteri dan anak pula nak pastikan bapa jadi Perdana Menteri. Kalau ini yang berlaku, esok suami Perdana Menteri, isteri Timbalan Perdana Menteri, lama-lama Dr Mahathir kata tak payah, dua-dua pun tak payah bagi orang lain, bagi anak sayalah jadi Perdana Menteri," katanya.

Noh berkata, pada masa, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, juga tidak boleh diketepikan kerana beliau juga dilihat bercita-cita tinggi.

504 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »