Jumaat, 12 Januari 2018 | 12:50pm
ROSLI Abdul Jabar. - Foto Nazirul Roselan

Pembangkang tiada hala tuju, tandus tokoh berwibawa

KUANTAN: PAS Pahang tidak terkejut dengan kecelaruan dalam pakatan pembangkang hingga mencalonkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri jika menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Pesuruhjaya PAS negeri, Rosli Abdul Jabar, berkata matlamat perjuangan gabungan pembangkang itu juga dilihat tidak konsisten dan menggambarkan seolah-olah mereka tidak mempunyai tokoh berwibawa bagi menjawat jawatan nombor satu negara.

"PAS Pahang melihat perkembangan mereka (pakatan pembangkang) ini seperti tidak ada matlamat jelas. Pemilihan Dr Mahathir sebagai contoh, adalah satu keputusan pelik kerana dia individu yang pernah mengkhianati Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Terpulanglah mereka nak pilih siapa, itu keputusan mereka dan PAS Pahang tidak melihat keputusan berkenaan sebagai perkembangan yang boleh menjejaskan kedudukan kita.

"Pendirian kita konsisten, PAS Pahang sedia berdepan sesiapa saja (calon) pada PRU-14, sama ada daripada Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang lain," katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Sementara itu, ditanya reaksi umum ahli PAS Pahang dengan keputusan pakatan pembangkang itu, Rosli berkata, kebanyakan mereka menganggap perkara itu sebagai melucukan.

Katanya, pakatan pembangkang sepatutnya mempunyai calon dalam kalangan mereka sendiri dan bukannya memilih tokoh yang sudah bersara untuk kembali mengetuai mereka.

Konvensyen Pakatan Harapan 2018 (PH2018) pada Ahad lalu, mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, jika menerima mandat rakyat pada PRU-14.

Selain itu, calon jawatan Timbalan Perdana Menteri pula akan disandang Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

1689 dibaca
Berita Harian X