Khamis, 11 Januari 2018 | 12:59pm
NORMAN Toha. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Hasrat Anwar jadi Perdana Menteri tak akan kesampaian

SHAH ALAM: Bekas Ketua Penerangan PAS Selangor, Norman Toha, mendakwa cita-cita Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri kelapan tidak akan kesampaian.

Norman berkata, ia berikutan beliau yakin jika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan melepaskan jawatan itu kepada Anwar.

"Jika Anwar dibebaskan awal pada Jun ini sekalipun, Anwar masih tidak dapat bertanding pilihan raya selama lima tahun melainkan jika mendapat pengampunan Yang Dipertuan Agong (Pengampunan Diraja).

"Pengampunan Diraja untuk Anwar adalah atas nasihat Perdana Menteri ketika itu iaitu Dr Mahathir. Cita-cita Anwar sejak dahulu untuk jadi Perdana Menteri keempat, kelima, keenam, ketujuh dan kelapan tidak akan tercapai," katanya kepada BH Online di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar, berkata Anwar akan dibebaskan daripada penjara pada 8 Jun depan.

Mengulas lanjut, Norman berkata, hubungan kerjasama antara Dr Mahathir dengan parti lain dalam PH adalah bermuka-muka, demi kepentingan peribadi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sendiri.

"Atas dasar ini hampir semua kumpulan reformasi 1998 bimbang apabila Dr Mahathir diangkat sebagai Perdana Menteri jika PH menang PRU-14.

"Sebab apa Dr Mahathir marah dengan Najib (Datuk Seri Najib Razak)? Sebab Najib tidak mahu ikut apa yang Dr Mahathir mahukan, jadi Dr Mahathir dendam dengan Najib.

"Jadi Dr Mahathir gunakan pula PH demi kepentingan peribadinya. Pada masa sama Anwar pun gunakan Dr Mahathir untuk keluarkannya dari penjara," katanya.

PH mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri, jika pakatan pembangkang memenangi PRU-14.

17472 dibaca
Berita Harian X