Isnin, 8 Januari 2018 | 11:27pm
KETUA Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman. - Foto Malai Rosmah Tuah

Pembangkang kucar-kacir: Musa Aman

KOTA KINABALU: Tindakan PKR Selangor menolak keputusan Pakatan Harapan untuk mencalonkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri jelas membuktikan kedudukan pembangkang yang kucar-kacir.

Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, berkata langkah mencalonkan semula Dr Mahathir adalah bertentangan dengan slogan 'reformasi' yang masih dilaungkan penyokong PKR ketika konvensyen Pakatan Harapan, semalam.

"Sangat ketara bahawa beberapa penyokong PKR masih berpegang kepada semangat 'reformasi', iaitu pergerakan yang Tun Mahathir mahu hapuskan dan meletakkan pemimpim mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam penjara hampir 20 tahun lalu.

"Ironiknya, individu yang sepatutnya sangat rapat dengan Anwar sebaliknya bersikap sangat pemaaf," katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam ini.

Beliau mengulas perkembangan terkini politik pembangkang selepas Dr Mahathir dicalonkan sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pencalonan bekas Perdana Menteri paling lama itu diumumkan pada konvensyen Pakatan Harapan yang dihadiri pemimpin dan penyokong PKR, PPBM, DAP serta Parti Amanah Negara (PAN).

Musa berkata, langkah mencalonkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri menunjukkan Pakatan Harapan tiada wawasan untuk masa depan.

"Apa sudah jadi dengan semua ceramah hebat mengenai perubahan, keluarkan orang lama, masukkan yang baru. Nampaknya Pakatan Harapan menggunakan peta yang sama untuk mencapai cita-cita ke Putrajaya," katanya.

4413 dibaca
Berita Harian X