Isnin, 8 Januari 2018 | 6:50pm
KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Pembangkang ulangi sejarah Melaka 600 tahun lalu: Idris

MELAKA: Langkah kepemimpinan gabungan pembangkang menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dilihat seperti mengulangi sejarah kejatuhan Melaka, kira-kira 600 tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata perumpamaan 'Jebat derhaka' adalah ungkapan paling tepat untuk menggambarkan keputusan terdesak yang dibuat gabungan pembangkang pada Konvensyen Pakatan Harapan, semalam.

Malah, beliau berkata, gabungan pembangkang sendiri terutama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail seolah-olah sudah melupakan kesengsaraan sebenar dialaminya sekeluarga serta kepemimpinan lain ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim diaibkan sendiri oleh Dr Mahathir.

"Apabila saya mendengar pemilihan Dr Mahathir dan Datuk Seri Dr Wan Azizah yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, saya seperti berada di alam fantasi.

"Apa yang dibuat ini seolah-olah bukan perkara serius, sedangkan mereka sebenarnya berdepan dengan 30 juta rakyat Malaysia. Bagaimana Wan Azizah boleh melupakan insiden suaminya sebagai orang nombor dua (Timbalan Perdana Menteri) ketika itu, diaibkan sedemikian rupa oleh Dr Mahathir," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Idris berpandangan Dr Mahathir tetap akan mengulangi gaya kepemimpinan politik lama dan tidak mustahil sekali lagi akan mengenepikan Anwar.

Beliau turut mempersoalkan mengapa baru sekarang Dr Mahathir cuba memberi ruang kembali kepada Anwar dan tidak kira-kira 20 tahun lalu.

"Percayalah, gaya politik Dr Mahathir dari dulu, kini dan selamanya tetap tidak akan memberi ruang buat Anwar. Beliau tentunya akan memilih (Datuk) Mukhriz (Mahathir) sebagai Perdana Menteri kelapan," katanya.

Idris turut mempersenda pembangkang apabila sanggup memberikan parti serpihan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jumlah kerusi terbanyak sehingga mengenepikan parti kanan pembangkang lain seperti PKR dan DAP untuk PRU-14 nanti.

2539 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »