Khamis, 7 Disember 2017 | 8:15pm
PERWAKILAN Wanita UMNO yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Pagoh, Datuk Noriah Mahat berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Syarafiq Abd Samad

PPBM tak gugat UMNO Pagoh

KUALA LUMPUR: UMNO Bahagian Pagoh tidak terkesan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang cuba menggugat penguasaan parti keramat itu di kawasan berkenaan.

Perwakilan Wanita UMNO yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Pagoh, Datuk Noriah Mahat, berkata walaupun PPBM diasaskan bekas Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, parti itu tidak mendapat tempat dalam kalangan penduduk.

"Parti bunga raya (PPBM) dikhabarkan bakal menggugat UMNO Pagoh, namun hakikatnya tidak sama sekali.

"Parti itu yang antaranya diasaskan bekas Timbalan Perdana Menteri dan Ketua UMNO Bahagian Pagoh tidak mendapat tempat sama sekali, sebaliknya UMNO pula semakin kukuh dan kuat," katanya sambil disahut sorakan ribuan perwakilan UMNO.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Sementara itu, Noriah turut berulang kali membangkitkan mengenai permintaan Wanita UMNO berhubung kuota 30 peratus sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) serta sebagai timbalan menteri dan menteri Kabinet.

"Tapi banyak mana pun bagi pada wanita, kalau (Barisan Nasional) kalah tak ada maknanya. Berilah juga lebih ramai wanita jadi menteri dan timbalan menteri. Jadi Presiden pun boleh," katanya sambil disahut gelak tawa perwakilan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang mengikuti perbahasan itu turut tersenyum.

Celoteh Noriah yang bercerita mengenai suami takutkan isteri, turut mendapat perhatian perwakilan lelaki yang hanya mampu ketawa apabila ditanya sama ada mereka juga takutkan isteri.

Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Mohamed Aziz beberapa kali memohon Noriah menamatkan perbahasan kerana melebihi tempoh 15 minit diberikan, namun beliau membalas dengan doa memohon diberikan masa yang lebih panjang.

"Sila teruskan. Saya jenis takut bini," jawab Mohamed spontan menyebabkan perwakilan bersorak dan ketawa.

Noriah mengakhiri perbahasannya dengan menyanyikan lagu Bahtera Merdeka diiringi seisi Dewan Merdeka, yang membangkitkan perasaan syahdu dan semangat dalam kalangan perwakilan untuk menang dalam PRU-14 bagi mempertahankan ibu pertiwi.

684 dibaca
Berita Harian X