Rabu, 29 November 2017 | 3:19pm
DATUK Mohd Amar Nik Abdullah.- Foto Zaman Huri Isa

Amiruddin lebih 'jantan' dari Pokok Sena - Mohd Amar

KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, secara sinis mengucap tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah yang keluar daripada parti itu.

Mohd Amar berkata, tindakan yang diambil Amiruddin itu lebih jantan (berani) daripada ADUN Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, yang tidak berani keluar daripada PAS.

"Secara jujurnya berita ini (Amiruddin keluar PAS) tidak mengejutkan dan dalam jangkaan kita dan saya ucap tahniah sebab dia lebih jantan daripada Pokok Sena.

"Kami yakin tindakan ini tidak akan mempengaruhi wakil rakyat PAS lain," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Kelantan 2017, di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Amiruddin meninggalkan PAS yang disertainya sejak 1999 untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Mengulas mengenai baiah yang dilafaz pemimpin PAS, Mohd Amar berkata, di Kedah hanya baiah sumpah dan tidak ada taklik talak seperti di Kelantan.

Bagaimanapun, katanya, kesan baiah adalah sangat besar kerana ia membabitkan lafaz sumpah.

"Siapa yang melanggar baiah, dia kena tanggunglah sebab itu Timbalan Presiden PAS (Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man) mengingatkan semua pemimpin mengenai baiah.

"Sebab baiah ini antara dia dengan Tuhan, kita manusia tidak dapat ambil apa-apa tindakan," katanya.

2761 dibaca
Berita Harian X