Isnin, 27 November 2017 | 6:50pm
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah. - Foto Amran Hamid

'Mungkin Amiruddin lupa baiah'

ALOR SETAR: PAS mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah, bahawa sumpah taat setia atau baiah yang menjadi amalan parti terbabit perlu dipatuhi.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi, berkata PAS Kedah mempunyai baiah perlu dipatuhi seperti mana yang dilakukan di Kelantan.

"PAS Kedah ada baiah... mungkin dia lupa apa yang dilafazkan," katanya yang dihubungi di sini, hari ini.

Ahmad Fakhruddin diminta mengulas kenyataan Amiruddin yang mendakwa tidak terikat dengan mana-mana baiah, sekali gus boleh keluar daripada PAS.

Semalam, Amiruddin meninggalkan PAS yang disertainya sejak 1999 untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Beliau mengesahkan penyertaannya selepas menyerahkan borang keahlian parti kepada Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, di Pejabat PPBM, di sini.

Amiruddin adalah antara wakil rakyat PAS yang dikategorikan sebagai 'harumanis' bersama Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan ADUN Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa, berikutan pendirian mereka yang dilihat cenderung ke arah menyertai pakatan pembangkang.

Ketika ditanya lebih lanjut mengenai inti pati baiah PAS Kedah, Ahmad Fakhruddin enggan mendedahkannya.

"Cuma di Kedah bukan baiah cerai talak tiga jika keluar parti," katanya.

Mengulas tindakan Amiruddin itu, Ahmad Fakhruddin berkata, pihaknya sudah menjangkakan tindakan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah itu.

6884 dibaca
Berita Harian X