Rabu, 11 Oktober 2017 | 3:49pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Pembangkang putar belit laporan Bank Dunia

KUALA LUMPUR: Parti pembangkang dan media proksi mereka meneruskan kempen mensabotaj ekonomi negara dengan menyebarkan pembohongan menggunakan laporan terbaharu Bank Dunia mengenai Asia Timur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata pembohongan itu disebarkan demi kepentingan politik pembangkang semata-mata.

Katanya, sepatutnya mereka perlu berasa malu kerana memalukan negara dan rakyat Malaysia dengan berita palsu yang jelas tidak seiring dengan apa yang diperakui institusi global itu mengenai Malaysia.

"Mereka (pembangkang dan proksi media) mengetahui kerajaan ini (Malaysia) mempunyai pelan ekonomi dan perancangan itu telah dan akan terus dilaksanakan demi manfaat rakyat Malaysia.

"Ini adalah pencapaian sebenar kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Semua rakyat Malaysia sepatutnya berbangga dengan rekod pencapaian ekonomi negara (berdasarkan laporan Bank Dunia)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata, pembangkang berbohong apabila mendakwa "daripada 15 ekonomi Asia yang dianalisis dalam laporan itu, Malaysia dan beberapa negara lain Asia diunjur menjadi lebih buruk."

Hakikatnya, katanya, Bank Dunia menyatakan Malaysia diramal tumbuh lebih pantas, mencerminkan peningkatan keyakinan, lebih banyak pelaburan dan pemulihan dalam dagangan dunia.

"Bermakna Bank Dunia memperakui kejayaan pelan jangka panjang kerajaan yang kini sudah dinikmati rakyatnya," katanya.

Beliau berkata laporan terperinci Bank Dunia menyatakan:

"Beberapa kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskal pada 2017, khususnya Mongolia dan Malaysia, namun defisit kekal tinggi atau di landasan untuk terus meningkat bagi kebanyakan negara."

Pencapaian itu, katanya adalah susulan tindakan kerajaan mengambil beberapa keputusan sukar yang tidak popular tetapi meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, sedangkan kebanyakan negara tidak berbuat demikian.

Beliau menjelaskan laporan itu turut menyebut:

"Pertumbuhan dalam perbelanjaan penggunaan persendirian dan peningkatan eksport komoditi utama serta pembuatan menyumbang terhadap kepantasan pertumbuhan Malaysia. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tumbuh pada kadar 5.6 peratus dalam suku pertama 2017 dan 5.8 peratus pada suku kedua - prestasi terbaik sejak suku pertama 2015".

Katanya, jelas sekali kenyataan itu tidak mencerminkan ekonomi semakin merudum seperti yang dicanang oleh media propembangkang.

Beliau menjelaskan laporan Bank Dunia menyatakan Malaysia mengubahsuai bajet ketika harga minyak dunia menjunam pada 2016, dan langkah itu berjaya mengembalikan program penyatuan fiskalnya kembali ke landasan betul.

Katanya, jelas sekali ia satu perakuan bahawa kerajaan sangat bertanggungjawab melakukan apa yang sewajarnya untuk memastikan ekonomi berada di landasan tepat.

Sebagai mengukuhkan keyakinan negara lain terhadap negara ini, laporan itu menyebut: "Jumlah kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) terus rancak di Malaysia."

Justeru, katanya adalah amat menjijikkan apabila pembangkang dan proksi media mereka cuba merendah-rendahkan keyakinan terhadap Malaysia.

Dalam laporan yang sama, Bank Dunia turut menggalakkan pelaksanaan Cukai Barang dan Jualan (GST) dan mahu ia dilaksanakan secara lebih meluas merangkumi peluasan asas cukai pendapatan peribadi, dan mengurangkan pengecualian daripada cukai jualan am.

Laporan Bank Dunia bagi Oktober turut menyebut angka kemiskinan tegar di negara ini adalah amat sedikit dan Malaysia kini adalah antara destinasi kunjungan utama di dunia, berdasarkan jumlah pelancong antarabangsa.

"Secara keseluruhannya, rantau ini mendapat manfaat daripada infrastruktur pengangkutan udara yang baik, namun ada beberapa negara agak ketinggalan. Bilangan pelepasan (domestik dan antarabangsa) perkapita boleh digunakan secara jangkaan keberkesanan infrastruktur pengangkutan udara negara terbabit.

"Dalam keadaan ini, Malaysia mendahului negara lain dengan 14 pelepasan bagi setiap 1,000 orang rakyat, manakala Kemboja, Myanmar, dan Laos jauh ketinggalan dengan satu pelepasan bagi setiap 1,000 rakyatnya.

Abdul Rahman berkata, media propembangkang tidak melaporkan kesimpulan sebenar Bank Dunia mengenai ekonomi Malaysia.

"Kesimpulan yang dikeluarkan Bank Dunia menyatakan pertumbuhan KDNK di Malaysia berlaku pantas ketika separuh pertama 2017 kepada 5.7 peratus (perbandingan tahun ke tahun), disokong oleh permintaan domestik dan luaran yang kukuh. Hasilnya, ekonomi Malaysia diunjur berkembang dengan kadar 5.2 peratus pada tahun ini.

"Prospek Malaysia kekal positif, sejajar keadaan ekonomi Malaysia terus menikmati pertumbuhan memberangsangkan yang merentasi pelbagai sektor secara meluas.

"Ekonomi Malaysia juga dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan semasa pada 2018 dan 2019, walaupun pada kadar lebih sederhana di sebalik unjuran pertumbuhan penggunaan modal yang lebih rendah," katanya

Beliau berkata, semua petikan itu bukannya "berpilih", sekali gus dapat menyangkal dakwaan kononnya ekonomi Malaysia semakin parah.

"Hanya golongan tidak mempedulikan negaranya yang berharap ekonomi hancur supaya dapat meraih kepentingan politik murahan," katanya.

1378 dibaca
Berita Harian X