Ahad, 8 Oktober 2017 | 8:57pm
AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. - Foto Syarafiq Abd Samad

"DAP tidak demokratik seperti nama parti"

KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, diminta berhenti daripada memperalatkan rakyat negara ini dengan perkataan 'demokratik' seperti tertera pada nama parti diterajuinya, 'Democratic Action Party'.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ini kerana DAP langsung tidak demokratik, apabila pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu masih tidak diiktiraf Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Beliau berkata, walaupun DAP mendakwa sebuah parti demokratik, tetapi jika dilihat kepemimpinannya, ia dikuasai Dinasti Lim termasuk Kit Siang, yang sudah berkuasa hampir 52 tahun.

"Rakyat bukan bodoh kerana rakyat melihat perbuatan bukannya kata-kata.

"Elok diulang kenyataan bekas Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Tunku Aziz Tunku Ibrahim, kalau ingin tahu apakah benar DAP adalah parti paling demokratik, maka lihatlah Korea Utara.

"Nama penuh negara itu ialah Democratic People's Republic of Korea (DPRK) tetapi negara itu tidak ada pilihan raya, sebab itu Kit Siang boleh bertahan lama kerana sistem pemilihan partinya amat tidak demokratik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Puad berkata, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah dilihat berterusan menggunakan slogan "UBAH" yang digunakan ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Beliau mempersoalkan, apakah rakyat percaya lagi kepada slogan kosong itu?.

 "Lihat apa yang mereka lakukan di Pulau Pinang setelah masuk penggal kedua mentadbirnya. Ketua Menteri, Lim Guan Eng, didakwa kerana rasuah. Amalan kroni berlaku dalam pelaksanaan projek mega. 

"Exco kanan juga didakwa kerana isu kilang haram. Wakil Rakyat yang kuat mengkritik seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR, Dr Norlela Ariffin dipinggirkan. Aspek alam sekitar diketepikan dalam projek menambak laut. Rumah mampu milik berharga mahal dan lain lain.

"Peribahasa "We cannot judge a book by its cover" (kita tidak boleh menilai buku daripada kulitnya) sesuai digunakan untuk menyindir penafian pemimpin agung DAP itu (Kit Siang)," katanya.

Mohd Puad yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), berkata Kit Siang boleh menafikan, tetapi sudah tentu dia ada banyak muslihat termasuk memulakannya dengan melantik "Perdana Menteri boneka"  hakikatnya dialah Perdana Menteri.

Katanya, Kit Siang juga gembira apabila Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup membantu pemimpin DAP itu membuat penafian.

Justeru itu, beliau mengibaratkan hala tuju Dr Mahathir dan Kit Siang seperti rambut sama hitam tapi hati lain-lain. 

"Kit Siang mendakwa setelah 52 tahun berpolitik, dia tidak pernah membuat kenyataan terbuka untuk merebut jawatan Perdana Menteri. Bermimpi pun tidak. Apatah lagi umurnya sudah mencecah 70-an.

 "Apa pun penafian dan siapa pun yang tolong menafikannya, tidak ada siapa yang akan percaya," katanya.

577 dibaca
Berita Harian X