Ahad, 8 Oktober 2017 | 8:22pm
AHLI Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Tun Mahathir cipta 'sejarah' berkomplot dengan DAP

MELAKA: Bekas pemimpin MCA sendiri tidak pernah duduk bersekongkol dengan DAP walaupun mereka dari bangsa yang sama, berbanding apa dilakukan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Idris Haron, berkata hanya Dr Mahathir yang sebelum ini dikenali sebagai 'Melayu Ultra' sanggup melakukan demikian.

Katanya, tindakan itu tidak pernah dilihat dilakukan bekas pemimpin parti berasaskan Cina, termasuk bekas Presiden MCA seperti Tun Dr Ling Liong Sik dan Tan Sri Ong Ka Ting.

Beliau berkata, keadaan itu sekali gus mencipta 'sejarah' dalam politik negara, khususnya UMNO apabila bekas pemimpin utamanya sendiri berkomplot dengan musuh politik untuk menjatuhkan parti pernah dipimpinnya selama 22 tahun.

"Ada dalam kalangan pemimpin MCA sendiri yang beritahu saya, tidak pernah nampak bekas presiden atau bekas pemimpin parti mereka duduk dengan DAP sedangkan mereka satu kaum.

"Mengapa bekas Presiden UMNO yang dahulunya dikenali sebagai 'Melayu Ultra' boleh duduk dengan DAP," katanya selepas menyampaikan sumbangan Deepavali di Sungai Udang di sini, hari ini.

Ketua Menteri turut menyifatkan Dr Mahathir seorang yang berpura-pura memperjuangkan ketuanan Melayu dan Islam sebelum ini dengan menolak DAP yang anti-Melayu dan Islam.

"DAP secara jelas menolak Melayu dan UMNO sekeras-kerasnya selain tidak mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam dan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Saya pelik, bekas presiden UMNO ini boleh duduk bersekongkol dengan DAP untuk membinasakan apa yang kita bina, bahkan sebahagian dasar itu juga dilaksanakan beliau sendiri.

"Saya tidak tahu dia betul atau tidak," katanya.

1431 dibaca
Berita Harian X