Ahad, 8 Oktober 2017 | 7:57pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali 2017 Kawasan Parlimen Bagan Datuk di Dewan Serbaguna JKKK Hutan Melintang. - Foto L Manimaran

Zahid sasar majoriti lebih tinggi di Parlimen Bagan Datuk

BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin kekuatan jentera Jalinan Rakyat (JR) Plus di Bagan Datuk yang disertai semua komponen Barisan Nasional (BN) akan membolehkan BN kekal dengan majoriti lima kali ganda.

Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata jentera JR Plus Bagan Datuk bergerak dengan cukup baik.

Selain menang dengan majoriti bergaya, beliau berkata, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang juga mesti dirampas semula daripada pembangkang.

"Kita kena pastikan kemenangan (majoriti) lima kali ganda di Parlimen Bagan Datuk. Senario politik Bagan Datuk tidak banyak beza dengan tempat lain yang diserang dengan pelbagai tohmahan.

"Mereka (pembangkang) mahu menghilangkan keyakinan dan kebolehpercayaan rakyat kepada parti pemerintah.

"Jadi (tanggungjawab) terletak di bahu kita untuk tolak fitnah dan yakin dengan apa yang diperjuangkan untuk kepentingan rakyat tanpa mengira kaum dan agama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran JR Plus Bagan Datuk di Dewan Dato' Mohamed Jamrah Sungai Sumum, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Penolong Setiausaha pergerakan itu, Datuk Rosni Sohar.

Pada pilihan raya umum lalu, Ahmad Zahid menang kerusi Parlimen Bagan Datuk dengan majoriti 2,108 undi.

Beliau beliau yakin dengan adanya JR Plus digerakkan di seluruh negara, ia akan membantu memberikan kemenangan termasuk di negeri yang BN tewas.

"Insya-Allah dengan JR Plus, kepemimpinan BN di peringkat nasional akan pastikan semua negeri yang kita kalah akan direbut semula pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita mesti menguasai peperangan minda, kita tidak bersedia dengan perang dan tombak, tetapi dalam dunia moden hari ini, peperangan minda menjadi keutamaan," katanya.

276 dibaca
Berita Harian X